Rasulullah SAW juga mengajarkan umatnya agar mengibas tempat tidur. Hikmahnya adalah agar tempat tidur kita bersih daripada habuk, hama, kotoran atau haiwan yang berbahaya.
Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Sekiranya salah seorang daripada kamu mendatangi tempat tidurnya, hendaklah dia mengambil (memegang) bahagian dalam kainnya, kemudian mengibas tempat tidurnya dengan kain tersebut serta sebutlah nama Allah (iaitu membaca Bismillah), kerana sesungguhnya tidak ada seorang pun yang tahu apa yang terjadi setelah dia meninggalkan tempat tidurnya. Sekiranya dia mahu berbaring, berbaringlah di sebelah rusuk kanannya dan berdoa; Maha suci Engkau, Ya Allah Wahai Tuhanku, dengan namaMu aku berbaring, dan dengan namaMu aku angkat pinggangku. Jika Engkau menahan nyawaku, maka berilah keampunan kepadanya dan jika Engkau melepaskannya, maka peliharalah sebagaimana hamba-hambaMu yang soleh.
Hadis riwayat Muslim
Anda boleh mengibas tempat tidur menggunakan kain atau apa-apa sahaja yang sesuai. Ketika mengibas, anda bacalah bismillah agar Allah lindungi diri anda daripada perkara yang tidak diingini.