Bacaan Dan Cara Melakukan Sujud Sahwi
‘Eh aku dah buat rakaat keberapa ni?’
‘Aku baca doa qunut tak tadi?’
Soalan-soalan ini bermain dalam minda ketika anda masih berada dalam solat. Anda berada dalam dilema. Bagaimana ni?
Anda boleh melakukan sujud sahwi dalam keadaan berkenaan.
Tapi sebelum itu, anda perlu tahu:
Apa dia sujud sahwi ni?
Bagaimana pelaksanaannya yang betul?
Dalam situasi apakah anda diperlukan untuk melakukannya?
Maksud sahwi dari segi bahasa adalah lupa atau lalai akan sesuatu perkara.
Manakala, istilah sahwi di sini pula bermaksud kecacatan atau ketidaksempurnaan yang dilakukan oleh seseorang ketika bersolat sama ada secara sengaja atau terlupa.
Ia dilakukan dengan cara bersujud sebanyak dua kali sebelum salam. Hukum melakukannya adalah sunat muakkad.
Apa pentingnya melakukan sujud sahwi?
Ia bertindak sebagai penutup kepada kecacatan yang telah dilakukan sepanjang anda bersolat. Oleh itu, sujud sahwi dilakukan di penghujung solat.
Walaupun begitu, jika anda tertinggal rukun solat, tidak boleh hanya diganti dengan pelaksanaan sujud sahwi. Sujud sahwi hanya boleh dilakukan untuk menutup kesilapan kita sama ada terlupa atau ketinggalan perkara sunat ab’ad dalam solat.
Bagaimana Melakukan Sujud Sahwi?
Selepas anda selesai membaca tahiyat akhir, jangan terus beri salam. Anda perlu bersujud dan baca bacaan tersebut sebanyak 3 kali:
سُبْحَانَ مَنْ لَا يَنَامُ وَلَا يَسْهُو
Maksudnya: Maha Suci Allah, yang tidak tidur dan tidak lupa.
Kemudian, anda bangkit kepada kedudukan duduk antara dua sujud.
Pada waktu ini, anda boleh membaca bacaan ketika duduk antara dua sujud dalam solat fardhu atau memadai hanya dengan berdiam sahaja beserta tomakninah.
Kemudian, teruskan dengan sujud yang kedua. Bacalah bacaan yang sama seperti dalam sujud pertama sebanyak 3 kali.
Sesudah itu, kembalilah duduk sebagaimana duduk tahiyat akhir dan boleh terus memberi salam.
Walaupun begitu, bacaan ketika sujud itu tidak mempunyai dalil atau nas yang boleh disandarkan kepada Rasulullah SAW.
Bila Perlu Melakukan Sujud Sahwi?
Antara situasi yang memerlukan anda untuk melakukan sujud sahwi adalah apabila anda meninggalkan perkara sunat ab’ad dalam solat.
Sunat ab’ad adalah perkara sunat dalam solat yang jika anda lakukan akan beroleh pahala. Jika anda tinggalkan tidaklah membatalkan solat, akan tetapi, anda disunatkan untuk melakukan sujud sahwi di akhir solat.
Selain itu, ada juga situasi di mana timbul keraguan dalam hati ketika bersolat. Jadi, antara situasi yang memerlukan anda untuk melakukan sujud sahwi adalah seperti berikut:
1. Meninggalkan duduk dan bacaan tahiyat awal
2. Menambah rukuk atau sujud lantaran kelupaan
3. Ragu-ragu tentang jumlah rakaat yang dilakukan
4. Terlupa membaca doa qunut ketika solat Subuh
Semoga perkongsian ringkas ini mampu memberi manfaat buat anda sedikit sebanyak. Marilah kita bersama-sama mengutip cebisan ilmu
Semoga perkongsian ringkas ini mampu memberi manfaat buat anda sedikit sebanyak. Marilah kita sama-sama mengutip cebisan ilmu tentang solat untuk menyempurnakan ibadah solat kita pada masa seterusnya.
Jika anda ingin mempelajari ilmu Al-Quran, anda di alu-alukan ke Beana HomeQuran. Atau anda boleh saja klik saya nak belajar Al-Quran online! untuk maklumat lanjut.
Semoga Allah meredhai usaha kita untuk memperbaiki diri sendiri melalui pelaksanaan ibadah kepadaNya. Wallahua’lam.