Cara Untuk Sembahyang Jenazah, Doa Beserta Niat

Setiap yang hidup pasti akan menemui ajalnya juga. Sembahyang jenazah merupakan salah satu fardhu kifayah ke atas orang hidup kecuali yang mati syahid. Fardhu kifayah bermaksud perkara yang wajib dilakukan oleh sebahagian anggota masyarakat demi menjaga kepentingan umat Islam.

Cara Untuk Sembahyang Jenazah, Doa Beserta Niat

Solat jenazah dilakukan oleh orang hidup kepada orang yang telah meninggal dunia agar diampunkan segala dosanya dan mendapat rahmat serta keredhaan Allah SWT. Disebabkan solat jenazah ini agak berbeza dengan solat yang lain, kita seringkali terlupa akan cara dan niatnya.

Oleh itu, untuk artikel kali ini, saya akan kongsikan tentang panduan untuk sembahyang jenazah dengan betul beserta doa dan niatnya. Mudah-mudahan dengan penulisan ini, ianya sedikit sebanyak dapat membantu anda untuk mengerjakan solat jenazah.

Solat jenazah mempunyai sedikit keunikannya. Ia tidak mempunyai ruku’, iktidal, sujud mahupun tahiyyat. Sebaliknya, ia hanya disempurnakan dengan 4 kali takbir dan salam sambil berdiri tegak sahaja. Sabda Rasulullah SAW bermaksud, “Sembahyangkanlah oleh kamu akan orang-orang yang mati dari kalangan kamu.” (Riwayat Ibn Majah)

Solat jenazah boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja dan tidak makruh mengerjakan pada waktu-waktu yang ditegahkan. Ini kerana, solat ini merupakan solat yang mempunyai sebab. Tetapi, ianya akan menjadi makruh sekiranya kita melambat-lambatkan solat tersebut sehingga sampai waktu yang ditegah.

Syarat-syarat Solat Jenazah

  1. Syarat-syarat sembahyang jenazah serupa dengan syarat-syarat solat yang lain seperti menutup aurat, bersih badan dan pakaian daripada najis dan menghadap qiblat.
  2. Jenazah sudah dimandikan dan dikafankan.
  3. Jenazah tersebut hendaklah diletakkan di hadapan jemaah (di sebelah kiblat) kecuali solat jenazah ghaib.

Kedudukan Jenazah Dan Imam

Sebelum melakukan solat jenazah, anda perlu tahu kedudukan jenazah untuk disembahyangkan. Jenazah perlu diletakkan di hadapan imam melintang ke qiblat. Sekiranya terdapat lebih daripada satu jenazah, kedudukannya adalah seperti berikut;

  1. Jenazah Lelaki Dewasa
  2. Jenazah Kanak-kanak Lelaki
  3. Jenazah Perempuan Dewasa
  4. Jenazah Kanak-kanak Perempuan

Mengikut kepada sepakatan imam-imam mazhab, adalah sunat hukumnya untuk solat jenazah yang ramai secara serentak. Tetapi ianya boleh dilakukan secara berasingan dan didahulukan dengan jenazah yang paling mulia.

Mayat lelaki kepalanya diletakkan di sebelah kiri imam dan imam berada di sebelah kepala atau dada mayat. Manakala, mayat perempuan pula, imam berdiri di bahagian pinggangnya. Bagi solat jenazah ghaib, imam dan makmum perlu menghadap qiblat tanda ada jenazah dihadapan.

Solat jenazah ghaib adalah solat tehadap jenazah ahli keluarga atau saudara seagama yang meninggal di tempat yang jauh atau kepada jenazah yang telah dikebumikan tetapi tiada kesempatan bagi ahli keluarga si mati untuk menyembahyangkannya.

Ianya sunat dilakukan ketika mendengar berita kematian seseorang walaupun masa meninggal dunia sudah berlalu sehingga sebulan.

Saf solat jenazah ini seboleh-bolehnya dijadikan 3 saf yang mempunyai sekurang-kurangnya 2 orang setiap saf tersebut.

Rukun Solat Jenazah

Solat jenazah tidak perlu dilaungkan azan dan iqamat. Ianya berbeza dengan solat-solat yang lain. Berikut adalah rukun-rukun solat jenazah.

  1. Niat pada takbiratul ihram
  2. Berdiri ketika melakukan solat bagi yang berkemampuan
  3. Mengangkat 4 kali takbir termasuk takbiratul ihram
  4. Takbir pertama dan diikuti dengan bacaaan Al-Fatihah
  5. Tabir kedua dan diikuti dengan membaca selawat ke atas Nabi Muhammad SAW
  6. Takbir ketiga dan diikuti dengan membaca doa untuk jenazah
  7. Takbir keempat dan seterusnya memberi salam yang pertama

Cara Mengerjakan Solat Jenazah

Cara mengerjakan sembahyang jenazah cukup mudah. Ianya dimulakan dengan berdiri tegak bertentangan dengan jenazah. Seterusnya, mulakan solat dengan niat di dalam hati untuk menunaikan solat jenazah empat takbir kerana Allah.

  1. Niat di dalam hati dan mengangkat takbir pertama. Setiap jemaah yang mengikuti solat jenazah tersebut wajib berniat untuk melakukan solat jenazah kerana Allah SWT. Setelah niat, bertakbirlah dengan takbiratul ihram yang pertama.
  2. Membaca surah Al-Fatihah. Selepas mengangkat takbir yang pertama, hendaklah dibaca surah Al-Fatihah dari awal sehingga selesai.
  3. Membaca solawat. Selepas takbir yang kedua, anda dikehendaki membaca solawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Anda boleh membaca solawat ringkas atau yang paling utama adalah solawat ibrahimiyah.

    أَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى اَلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى اَلِ إِبْرَاهِيْمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى اَلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى اَلِ إِبْرَاهِيْمَ فِى الْعَالمَِيْنَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ

  4. Membaca doa untuk jenazah. Selepas mengangkat takbiratul ihram yang ketiga, bacakan doa untuk jenazah. Ini adalah bahagian yang penting kerana ini merupakan sebab kita menunaikan solat jenazah, iaitu mendoakan jenazah.

    أَللَّهُمَّ اغْفِرْلَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِّعْ دْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالْثَلْجِ وَالْبَرَدِ، وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ الأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ، وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ ، وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ ، وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ ، وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ اْلقَبْرِ وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ

  5. Selepas takbir yang keempat, anda boleh diam sebentar dan terus memberi salam. Anda juga digalakkan untuk melanjutkan berdoa untuk si mati selepas takbir keempat ini, baru kemudian memberi salam. boleh membaca doa ini:

    أَللَّهُمَّ لاَ تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلاَ تَفْتِنَّا بَعْدَهُ وَاغْفِرْلَنَا وَلَهُ وَلإِخْوَانِنَا الَّذِيْنَ سَبَقُوْنَا بِالإِيْمَانِ وَلاَ تَجْعَلْ فِى قُلُوْبِنَا غِلاَّ لِلَّذِيْنَ آمَنُوْا رَبَّنَا إِنَّكَ رَؤُوْفٌ رَحِيْمٌ

Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang bersama (ziarah) jenazah seorang muslim dengan penuh keimanan, dia tetap ada bersama mayat sehinggalah mayat tadi disolatkan dan turut serta sehingga selesai ia dikebumikan, maka dia pulang dengan mendapat 2 qhirat. Setiap satu qhirat ganjarannya sama seperti gunung Uhud. Dan sesiapa yang solat jenazah, kemudian dia pulang tanpa menunggu sehingga mayat tersebut dikebumikan, sesungguhnya dia hanya mendapat 1 qhirat sahaja.” (HR Bukhari)

Mudah-mudahan selepas anda membaca artikel ini, tidak ada lagi kekeliruan tentang sembahyang jenazah. Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan. Anak Tak Solat? 9 Tips Ajar Anak Solat Sejak Kecil.

Leave a Comment

Your email address will not be published.