fbpx
surah al ikhlas

Kelebihan Surah Al-Ikhlas Sebagai Surah Amalan

Kelebihan Surah Al-Ikhlas Sebagai Surah Amalan

Surah Al-Ikhlas terdiri daripada 4 ayat dan merupakan surah yang ke 112 dalam Al-Quran. Tahukah anda dalam surah ringkas ini terkandung beribu hikmah?

surah al ikhlas

Surah Al-Ikhlas juga dikenali sebagai surah pelindung. Surah ini terkenal dikaitkan dalam sebuah kisah menyayat hati tentang seorang sahabat Nabi, Bilal Bin Rabah yang diseksa oleh tuannya yang kejam. Ketika dada Bilal ditindih dengan sebuah batu yang besar, bibir Bilal berulang kali menyebut; “Ahad! Ahad!” yang bermaksud Allah Yang Tunggal.

Hanya kepada Allah, Bilal serahkan nilai keimanan dalam jiwanya dan memohon pertolongan.

Gagasan Surah Al-Ikhlas ini adalah tentang kemurnian dan keesaan Allah SWT. Banyak kelebihan bagi anda yang mengamalkan surah ini sebagai surah amalan harian.

Kali ini saya akan kongsikan 3 kelebihan yang akan anda perolehi jika anda amalkan Surah Al-Ikhlas ini sebagai amalan harian secara ringkas. Jom sama-sama kita pelajari!

Dicintai Allah

Daripada Aishah RA yang bermaksud:

Sesungguhnya Nabi SAW mengutus seseorang kepada sekelompok pasukan, dan ketika orang itu mengimami sahabat-sahabatnya yang lainnya di dalam solat mereka dan beliau mengakhiri bacaannya dengan قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ, maka apabila mereka pulang, mereka menceritakan hal itu kepada Rasulullah SAW, lalu Baginda pun bersabda: “Tanyalah beliau, mengapa beliau berbuat demikian?” Lalu mereka bertanya kepadanya. Beliau pun menjawab: “Kerana surah ini mengandungi sifat al-Rahman dan aku mencintai membaca surah ini,” lalu Nabi SAW bersabda: “Beritahu beliau, sesungguhnya Allah pun mencintainya”

Hadith riwayat Imam Al-Bukhari

Hadith di atas menunjukkan sesiapa yang mencintai surah Al-Ikhlas dan sering membacanya, Allah juga akan membalas dengan limpahan belas kasih sayang dan rahmat kepada seseorang itu.

Beroleh Kebaikan Di Dunia & Akhirat

Bagi anda yang rajin mengamalkan surah ringkas ini sebagai surah harian, dengan izin Allah, akan dianugerahkan kebaikan buat anda baik di dunia dan akhirat. Kebaikan di dunia termasuklah diberi kecukupan dalam setiap rezeki yang anda terima pada setiap hari, dihindarkan penyakit dan terlindung daripada bala.

Ayat kedua surah Al-Ikhlas yang bermaksud:

Allah menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat.

Yakinlah bahawa hanya kepada Allah tempat anda bergantung dan memohon bantuan. Curahkan segala hajat anda kepada Allah. Dalam pada yang sama rajinkanlah diri anda untuk mengamalkan membaca surah ini agar beroleh kebaikan di dunia dan akhirat. Walaupun begitu, janganlah niatkan membaca surah ini hanya kerana inginkan hajat diperkenan. Sebaliknya, amalkanlah selalu agar dapat tumbuhkan rasa kecintaan terhadap surah ini. 

Anda digalakkan untuk membaca surah Al-Ikhlas ini setiap kali selepas anda menunaikan solat fardhu. Secara tidak langsung, anda telah jadikan ia sebagai surah amalan harian.

berdoa
Pahala Membaca Surah Al-Ikhlas Adalah Bersamaan Dengan Sepertiga Al-Quran

Daripada Abu Sai’d Al-Khudri yang bermaksud:

Sesungguhnya seseorang mendengar orang lain membaca قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ dengan berulang kali, lalu dia datang bertemu Rasulullah SAW dan menceritakan hal itu kepadanya, dan seolah-olah orang itu menganggap remeh surah itu, maka bersabdalah Rasulullah SAW: “Demi Dzat yang jiwaku berada di tanganNya, sesungguhnya surah itu sebanding dengan sepertiga al Qur`an.”

Hadith riwayat Imam Al-Bukhari

Jangan sesekali anda merendahkan nilai surah ini kerana singkatnya ia. Sebaliknya perhatikanlah makna disebalik setiap bait ayatnya. Setiap bait ayat memanjatkan pengakuan tentang keesaan dan kesucian Allah SWT. Tiada ruginya jika anda belajar untuk mempelajari intipati surah ini dan sekaligus mencintainya.

baca alquran

Anda boleh ke Beana HomeQuran jika anda ingin belajar ilmu Al-Quran. Klik saja link saya nak belajar Al-Quran online! untuk maklumat lanjut.

Semoga perkongsian ringkas ini sedikit sebanyak mampu memberi manfaat kepada anda. Tiada istilah terlalu lambat untuk belajar. Malah biarkan sepanjang waktu kita hidup dijadikan sebagai proses pembelajaran. Semoga Allah redha.