fbpx

Bagaimana Cara Menyambut Ramadhan?

Bagaimana Cara Menyambut Ramadhan?

Marhaban ya Ramadhan!

Bulan Ramadhan yang penuh rahmat dan berkat akan tiba tidak lama lagi. Sudah tiba masanya buat semua umat Islam untuk menyambut ‘tetamu’ mulia ini dengan kebahagiaan.

Mengapa bulan Ramadhan sangat ditunggu-tunggu oleh umat Islam?

Ianya kerana limpahan kemuliaan dan keberkatan yang terkandung sepanjang bulan berkenaan. Satu bulan di mana setiap amal kebaikan yang dilakukan akan dilipatgandakan pahala dan ganjarannya. Kalaulah kemuliaan dan rahmat Ramadhan itu terzahir pada mata, pastinya seluruh umat manusia akan mengharapkan bulan-bulan lainnya seperti bulan Ramadhan.

Oleh disebabkan keistimewaannya yang banyak, Allah menghadiahkan bulan Ramadhan hanya sekali sepanjang tahun. Maka, kita harus berasa bersyukur atas kesempatan yang dipinjamkan oleh Allah untuk kita menjalani bulan mulia ini. Belum tentu kita akan berjumpa Ramadhan untuk tahun akan datang. Jadi, bagaimana caranya untuk menyambut bulan Ramadhan ini dengan sebaik-baik sambutan?

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu untuk berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang dahulu sebelum kamu, agar kamu bertakwa.

Surah Al-Baqarah: 183

Berpuasa sepanjang bulan Ramadhan merupakan perintah yang wajib dilaksanakan. Perintah berpuasa dilakukan untuk meneguhkan hati-hati manusia yang rapuh dengan nikmat dunia.

Selain daripada berpuasa? Apa lagi yang boleh dilakukan untuk meraikan Ramadhan?

Perbanyakkan amalan kebaikan.

Sebagai contoh, membanyakkan membaca Al-Quran, bertadarus, menunaikan solat-solat sunat dan melakukan amal kebaikan yang lain termasuk bersedekah dan bersabar. Selain mendapat pahala berlipatkali ganda, Allah juga berikan pahala berupa jiwa dan peribadi yang mantap dan kuat.

Antara cara-cara untuk menyambut Ramadhan dengan sebaik-baik sambutan:

1. Selalu berusaha memantapkan akidah dan akhlak

Jiwa dan hati yang konkrit boleh dibina melalui pemantapan akidah kita. Akidah Islam mempunyai 4 aspek yang terdiri:

Rububiyyah: Pengakuan dalam diri bahawa Allah adalah Pencipta dan Penguasa alam semesta.

Uluhiyyah: Mentauhidkan Allah yang wajib disembah dan diabdi.

Nubuwwah: Pengakuan tentang perutusan nabi dan rasul untuk menyampaikan ajaran Allah kepada sekalian manusia.

Sam’iyyat: Pengakuan tentang perkara yang tidak tercapai dek pancaindera.

Perkara-perkara ini perlu dipercayai dan diyakini sepenuhnya tanpa sebarang keraguan. Melalui pemantapan akidah, ketakwaan dalam diri boleh mula menumbuh.

Ciri-ciri orang yang bertakwa akan tercermin melalui akhlaknya seperti tingkahlaku dan budi pekertinya.

2. Memantapkan hubungan dengan Allah

Amalan-amalan seperti membaca Al-Quran dan menunaikan solat tahajjud sepertiga malam boleh dilakukan bagi memantapkan hubungan dengan Allah.

Amalan yang paling ringan seperti berzikir dan berdoa juga boleh menjalin hubungan rapat dengan Allah. Berzikir dan berdoa boleh dilakukan di mana-mana sahaja tanpa perlu meminta izin sesiapa pun. Yang penting, berzikirlah dengan hati. Berdoalah dengan jiwa. Letakkan sepenuh kebergantungan kepada Allah.

Jika selama ini kita sering alpa untuk menjaga hubungan dengan Allah. Ambillah peluang pada bulan mulia ini untuk memperbaiki hubungan bersama Allah. Jangan malu. Jangan putus asa dengan rahmat Allah. Kerana kasih sayang Allah tidak akan pernah setanding dengan kasih sayang manusia. Semoga Allah menerima segala usaha kita dengan baik.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.

Surah Al-Baqarah: 186

3. Memantapkan hubungan dengan manusia

Selain menjaga hubungan dengan Allah, hubungan sesama manusia juga perlu dititikberatkan. Kedua-dua hubungan ini perlu seimbang untuk memudahkan urusan kehidupan kita. Janganlah sehingga terlalu ingin menjaga hubungan dengan Allah, hubungan dengan manusia retak.

Sebagai contoh, berbuat baiklah sesama jiran. Sesekali hantarkanlah makanan buat juadah berbuka puasa untuk mereka. Walau tidak banyak, dengan usaha kita memberi, orang akan menghargai. Jangan pula memberi dengan harapan akan dibalas. Latih diri untuk ikhlas dalam melakukan perkara.

Selain itu, mengajar mengaji buat kanak-kanak di masjid juga boleh dilakukan bagi menjaga hubungan kita sesama manusia. Ataupun, perbuatan mudah seperti bertegur sapa dengan senyuman juga dianggap menjaga hubungan sesama manusia.

Allah menggalakkan manusia untuk saling kenal mengenal. Sama ada sesama orang Islam atau bukan orang Islam, kerana hakikat agama Islam itu adalah agama Rahmatan Lil Alamin, iaitu untuk memberikan keselamatan dan kedamaian kepada seluruh umat manusia.

Anda teringin nak belajar Al-Quran sempena bulan Ramadhan?

Meh ke Beana HomeQuran. Di sini, perkhidmatan pengajaran dan pembelajaran Al-Quran disediakan buat semua orang dari peringkat kanak-kanak, remaja hingga dewasa.

Klik pautan saya nak belajar Al-Quran!   untuk ketahui maklumat lebih lanjut.

Dengan itu, ayuhlah semua bersemangat menyambut Ramadhan kali ini!

Semoga Ramadhan kali ini kita mampu buat lebih baik daripada yang lepas. Ayuh sama-sama menuju keredhaan dan pelukan rahmatNya. Aamiin!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *