Dapatkan Ketenangan Jiwa Melalui Persahabatan Dengan Al-Quran
Ketenangan jiwa penentu kepada kebahagiaan hidup. Tapi kepala kita sentiasa berselirat dengan masalah tak berpenghujung. Hingga jiwa tak pernah rasa tenang. Boleh ke lari daripada masalah?
Problems begin the moment we are born. That’s inevitable. But what can we do? That’s what it is to live.
Jadi bagaimana mahu dapatkan ketenangan jiwa?
Bersahabatlah dengan Al-Quran. Ajaran Al-Quran yang diturunkan oleh Allah secara berperingkat kepada Nabi Muhammad SAW merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia. Selain mendapat pahala beramal dengan Al-Quran, jiwa juga boleh menjadi tenang.
Bagaimana mahu bersahabat dengan Al-Quran?
Ini antara caranya:
1. Membulatkan tekad
Perkara paling penting untuk ditanam dalam jiwa adalah niat dan kemahuan. Niat untuk belajar Al-Quran. Jika hati kata mahu, otak akan berfungsi memikirkan cara. Otak akan mengarahkan anggota lain untuk bergerak menunaikan hajat yang diingini.
Oleh itu, jelas bahawa keinginan atau kemahuan yang jitu adalah syarat asas untuk mendapatkan manfaat Al-Quran. Selari dengan firman Allah SWT yang bermaksud:
…Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sehingga mereka mempunyai kemahuan dan berusaha untuk mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri…
2. Tulus berdoa agar diberi kemudahan
Setelah menetapkan tekad, jangan lupa untuk berdoa kepada Allah. Panjatkan doa dengan keikhlasan memohon dipermudahkan segala urusan untuk mendapatkan manfaat Al-Quran.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
Allah jualah yang menciptakan kamu, kemudian Allah yang memberi rezeki kepada kamu, sesudah itu Allah juga yang mematikan kamu; kemudian menghidupkan kamu semula…
Surah Ar-Rum: 40
Allah sahaja yang berkuasa menentukan segala jalan kehidupan kita. Kemudian kepada siapa lagi perlu kita bergantung untuk merintih dan memohon segala pertolongan jika tidak kepadaNya. Meminta dan merayulah apa sahaja yang diinginkan kepada Allah, walau sekecil mana pun perkara itu kerana Allah menyukai mereka yang meletakkan kebergantungan kepadaNya.
Selari dengan sebuah hadis qudsi, Allah SWT berfirman, maksudnya:
Wahai hamba-Ku, kalian semua kelaparan, kecuali orang yang Aku berikan makan. Maka mintalah makan kepadaKu, nescaya Aku akan berikan. Wahai hamba-Ku, kalian semua tidak berpakaian, kecuali orang yang aku berikan pakaian. Maka mintalah pakaian kepadaKu, nescaya Aku akan berikan.
Sahih Muslim
Oleh itu, jangan pernah berasa serik untuk berdoa kepada Allah. Mohonlah apa sahaja yang diinginkan dengan keikhlasan dan kesabaran.
3. Mewujudkan keinginan untuk mendekatkan diri dengan Al Quran
Bagaimana?
Dengan usaha yang tidak pernah putus untuk mempelajari Al-Quran:
Berdoa dengan bersungguh-sungguh
Banyakkan memohon agar Allah membuka hati kita untuk menerima cahaya Al Quran. Banyakkan meminta agar diberi kemampuan untuk kita merenungi kalamNya.
Perbanyakkan membaca Al-Quran
Antara tips untuk membaca Al-Quran:
- Seeloknya dilakukan di tempat yang tenang, jauh dari hiruk-pikuk suasana agar tumpuan boleh ditujukan terus kepada pembacaan Al-Quran.
- Berwudhu dan bersiwak sebelum membacanya.
- Sebaiknya membaca menggunakan mushaf atau kitab fizikal.
- Membaca dengan suara yang boleh didengar (tidak berbisik), diperindahkan suara ketika membaca serta secara tartil.
Dengan itu, kita akan berasa lebih mudah untuk memahami dan menyelami setiap bait ayat Al-Quran. Dengan izin Allah, kita akan memperoleh manfaat Al-Quran.
Sering mengulang ayat yang dibaca
Kita digalakkan untuk mengulang beberapa kali ayat al-Quran yang kita baca supaya ia dapat memberi kesan pada hati. Dengan harapan agar cahaya Al-Quran turut menerangi hati kita dan semakin menguatkan iman terhadap Allah.
Jadi sekarang yang menjadi pertanyaan,
Mengapa berdamping dengan Al-Quran boleh mendapat ketenangan jiwa?
Kerana Al-Quran adalah kalam Allah. Yang dipenuhi dengan pengajaran dan ilmuNya yang luas. Tidak bercampur dengan sepatah pun perkataan manusia. Setiap kali kita membaca Al-Quran, bererti kita sedang membaca kalam daripada Tuhan. Seolah membaca surat dari Tuhan.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
Dan sesungguhnya Al-Quran (segala kisah di dalamnya) adalah diturunkan oleh Allah; Tuhan sekalian alam. Ia dibawa turun oleh Ar-Ruh Al-Amin.
Surah Asy-Syu’araa’: 192 & 193
Atas kehendak Allah, Al-Quran diturunkan dari Lauhul Mahfuz di bawa oleh Ar-Ruh Al-Amin (Malaikat Jibril), ke dalam hati manusia (Nabi Muhammad SAW). Dengan tugasan yang diberi kepada baginda iaitu untuk memberi peringatan dan mengajar ajaran Allah kepada sekalian manusia.
Pengajaran di sebalik setiap ayat-ayat Al-Quran membawa erti yang cukup mendalam dalam kehidupan. Selain menjadi panduan untuk penetapan hukum Islam, Al-Quran juga digunakan sebagai pedoman bagi umat Islam.
Bersahabatlah dengan Al-Quran. Fahami maksud setiap baitnya. Ia tidak akan menghilangkan masalah kehidupan yang kita alami. Namun, cara kita memandang suatu masalah itu sebagai ujian tanda kasih Allah akan menenangkan hati kita. Sekaligus memberi semangat dan kekuatan untuk kita terus bangun dan melawan apa yang mendatang.
Anda nak belajar Al-Quran, tapi tak tahu nak minta pertolongan siapa?
Beana HomeQuran sedia membantu anda. Di Beana HomeQuran, perkhidmatan pengajaran dan pembelajaran Al-Quran disediakan melalui peringkat usia dari kanak-kanak, remaja dan dewasa.
“Tapi, waktu musim COVID-19 ni takut nak belajar bersemuka…”
Jangan risau, Beana HomeQuran juga menyediakan kelas secara online bersama guru-guru yang bertauliah.
Klik pautan saya mahu belajar Al-Quran! untuk maklumat lebih lanjut.
Allah mengetahui setiap usaha kita untuk mendekatkan diri kepadaNya kerana Dia Maha Teliti. In shaa Allah, dengan kuasaNya kita mampu mendapat ketenangan jiwa.