Cara Untuk Sembahyang Jenazah, Doa Beserta Niat

Cara Untuk Sembahyang Jenazah, Doa Beserta Niat

Setiap yang hidup pasti akan menemui ajalnya juga. Sembahyang jenazah merupakan salah satu fardhu kifayah ke atas orang hidup kecuali yang mati syahid. Fardhu kifayah bermaksud perkara yang wajib dilakukan oleh sebahagian anggota masyarakat demi menjaga kepentingan umat Islam.

Cara Untuk Sembahyang Jenazah, Doa Beserta Niat

Solat jenazah dilakukan oleh orang hidup kepada orang yang telah meninggal dunia agar diampunkan segala dosanya dan mendapat rahmat serta keredhaan Allah SWT. Disebabkan solat jenazah ini agak berbeza dengan solat yang lain, kita seringkali terlupa akan cara dan niatnya.

Oleh itu, untuk artikel kali ini, saya akan kongsikan tentang panduan untuk sembahyang jenazah dengan betul beserta doa dan niatnya. Mudah-mudahan dengan penulisan ini, ianya sedikit sebanyak dapat membantu anda untuk mengerjakan solat jenazah.

Solat jenazah mempunyai sedikit keunikannya. Ia tidak mempunyai ruku’, iktidal, sujud mahupun tahiyyat. Sebaliknya, ia hanya disempurnakan dengan 4 kali takbir dan salam sambil berdiri tegak sahaja. Sabda Rasulullah SAW bermaksud, “Sembahyangkanlah oleh kamu akan orang-orang yang mati dari kalangan kamu.” (Riwayat Ibn Majah)

Solat jenazah boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja dan tidak makruh mengerjakan pada waktu-waktu yang ditegahkan. Ini kerana, solat ini merupakan solat yang mempunyai sebab. Tetapi, ianya akan menjadi makruh sekiranya kita melambat-lambatkan solat tersebut sehingga sampai waktu yang ditegah.

Syarat-syarat Solat Jenazah

  1. Syarat-syarat sembahyang jenazah serupa dengan syarat-syarat solat yang lain seperti menutup aurat, bersih badan dan pakaian daripada najis dan menghadap qiblat.
  2. Jenazah sudah dimandikan dan dikafankan.
  3. Jenazah tersebut hendaklah diletakkan di hadapan jemaah (di sebelah kiblat) kecuali solat jenazah ghaib.

Kedudukan Jenazah Dan Imam

Sebelum melakukan solat jenazah, anda perlu tahu kedudukan jenazah untuk disembahyangkan. Jenazah perlu diletakkan di hadapan imam melintang ke qiblat. Sekiranya terdapat lebih daripada satu jenazah, kedudukannya adalah seperti berikut;

  1. Jenazah Lelaki Dewasa
  2. Jenazah Kanak-kanak Lelaki
  3. Jenazah Perempuan Dewasa
  4. Jenazah Kanak-kanak Perempuan

Mengikut kepada sepakatan imam-imam mazhab, adalah sunat hukumnya untuk solat jenazah yang ramai secara serentak. Tetapi ianya boleh dilakukan secara berasingan dan didahulukan dengan jenazah yang paling mulia.

Mayat lelaki kepalanya diletakkan di sebelah kiri imam dan imam berada di sebelah kepala atau dada mayat. Manakala, mayat perempuan pula, imam berdiri di bahagian pinggangnya. Bagi solat jenazah ghaib, imam dan makmum perlu menghadap qiblat tanda ada jenazah dihadapan.

Solat jenazah ghaib adalah solat tehadap jenazah ahli keluarga atau saudara seagama yang meninggal di tempat yang jauh atau kepada jenazah yang telah dikebumikan tetapi tiada kesempatan bagi ahli keluarga si mati untuk menyembahyangkannya.

Ianya sunat dilakukan ketika mendengar berita kematian seseorang walaupun masa meninggal dunia sudah berlalu sehingga sebulan.

Saf solat jenazah ini seboleh-bolehnya dijadikan 3 saf yang mempunyai sekurang-kurangnya 2 orang setiap saf tersebut.

Rukun Solat Jenazah

Solat jenazah tidak perlu dilaungkan azan dan iqamat. Ianya berbeza dengan solat-solat yang lain. Berikut adalah rukun-rukun solat jenazah.

  1. Niat pada takbiratul ihram
  2. Berdiri ketika melakukan solat bagi yang berkemampuan
  3. Mengangkat 4 kali takbir termasuk takbiratul ihram
  4. Takbir pertama dan diikuti dengan bacaaan Al-Fatihah
  5. Tabir kedua dan diikuti dengan membaca selawat ke atas Nabi Muhammad SAW
  6. Takbir ketiga dan diikuti dengan membaca doa untuk jenazah
  7. Takbir keempat dan seterusnya memberi salam yang pertama

Cara Mengerjakan Solat Jenazah

Cara mengerjakan sembahyang jenazah cukup mudah. Ianya dimulakan dengan berdiri tegak bertentangan dengan jenazah. Seterusnya, mulakan solat dengan niat di dalam hati untuk menunaikan solat jenazah empat takbir kerana Allah.

  1. Niat di dalam hati dan mengangkat takbir pertama. Setiap jemaah yang mengikuti solat jenazah tersebut wajib berniat untuk melakukan solat jenazah kerana Allah SWT. Setelah niat, bertakbirlah dengan takbiratul ihram yang pertama.
  2. Membaca surah Al-Fatihah. Selepas mengangkat takbir yang pertama, hendaklah dibaca surah Al-Fatihah dari awal sehingga selesai.
  3. Membaca solawat. Selepas takbir yang kedua, anda dikehendaki membaca solawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Anda boleh membaca solawat ringkas atau yang paling utama adalah solawat ibrahimiyah.

    أَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى اَلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى اَلِ إِبْرَاهِيْمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى اَلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى اَلِ إِبْرَاهِيْمَ فِى الْعَالمَِيْنَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ

  4. Membaca doa untuk jenazah. Selepas mengangkat takbiratul ihram yang ketiga, bacakan doa untuk jenazah. Ini adalah bahagian yang penting kerana ini merupakan sebab kita menunaikan solat jenazah, iaitu mendoakan jenazah.

    أَللَّهُمَّ اغْفِرْلَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِّعْ دْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالْثَلْجِ وَالْبَرَدِ، وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ الأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ، وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ ، وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ ، وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ ، وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ اْلقَبْرِ وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ

  5. Selepas takbir yang keempat, anda boleh diam sebentar dan terus memberi salam. Anda juga digalakkan untuk melanjutkan berdoa untuk si mati selepas takbir keempat ini, baru kemudian memberi salam. boleh membaca doa ini:

    أَللَّهُمَّ لاَ تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلاَ تَفْتِنَّا بَعْدَهُ وَاغْفِرْلَنَا وَلَهُ وَلإِخْوَانِنَا الَّذِيْنَ سَبَقُوْنَا بِالإِيْمَانِ وَلاَ تَجْعَلْ فِى قُلُوْبِنَا غِلاَّ لِلَّذِيْنَ آمَنُوْا رَبَّنَا إِنَّكَ رَؤُوْفٌ رَحِيْمٌ

Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang bersama (ziarah) jenazah seorang muslim dengan penuh keimanan, dia tetap ada bersama mayat sehinggalah mayat tadi disolatkan dan turut serta sehingga selesai ia dikebumikan, maka dia pulang dengan mendapat 2 qhirat. Setiap satu qhirat ganjarannya sama seperti gunung Uhud. Dan sesiapa yang solat jenazah, kemudian dia pulang tanpa menunggu sehingga mayat tersebut dikebumikan, sesungguhnya dia hanya mendapat 1 qhirat sahaja.” (HR Bukhari)

Mudah-mudahan selepas anda membaca artikel ini, tidak ada lagi kekeliruan tentang sembahyang jenazah. Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan. Anak Tak Solat? 9 Tips Ajar Anak Solat Sejak Kecil.

Niat Dan Cara Mandi Wajib Haid – Langkah Demi Langkah

Niat Dan Cara Mandi Wajib Haid – Langkah Demi Langkah

Mandi wajib merupakan salah satu perkara yang tidak boleh dipandang ringan oleh lelaki mahupun wanita. Anda juga harus memastikan cara mandi wajib atau mandi junub yang anda lakukan itu adalah cara yang betul dan sah dari segi hukum Islam yang telah ditetapkan. Jadi, saya nak kongsikan sikit niat dan cara mandi wajib haid yang betul.

Apa saja jenis air mandian yang digunakan seperti air paip, air hujan, air pancut atau air sungai, anda wajib pastikan air tersebut adalah air mutlak dan bersih. Dengan mengikuti panduan niat dan cara mandi wajib haid tentunya mandi junub anda itu sah walaupun anda tidak mandi lama, asalkan mandian tersebut sempurna mengikut hukum syarak.

Niat Dan Cara Mandi Wajib Haid

Langkah-langkah mandi wajib yang betul adalah seseorang itu tidak boleh melakukannnya dengan hanya mandi secara berdiri atau duduk mencangkung sahaja. Sebaliknya, ia perlu dilakukan dalam kedua-dua keadaan bagi membolehkan seseorang itu meratakan air ke seluruh anggota badannya yang zahir.

Sekiranya mandi wajib itu tidak memenuhi salah satu rukun mandi wajib iaitu meratakan air ke seluruh anggota badan yang zahir, mandi wajib itu akan menjadi tidak sah, dan membuatkan ibadat seseorang itu turut menjadi tidak sah.

Rukun mandi wajib mempunyai 3 perkara, iaitu:

  1. Niat
  2. Menghilangkan najis pada badan
  3. Meratakan air ke seluruh anggota badan yang zahir

Setiap mandi junub harus disertai dengan niat mandi wajib yang betul. Niat mandi wajib haid adalah;

“Sahaja aku mengangkat hadas haid kerana Allah Taala”

Mengenai rukun mandi wajib yang kedua iaitu menghilangkan najis yang ada pada badan, jika ada najis di badan anda, najis itu boleh dibasuh serentak dengan mandi wajib. Ini bermakna, membasuh najis denagn mandi itu boleh disekalikan.

Sementara itu, rukun mandi wajib yang ketiga, iaitu meratakan air ke seluruh anggota badan yang zahir, meliputi kulit, rambut dan bulu yang ada pada badan, sama ada bulu-bulu yang jarang ataupun lebat.

Sekiranya rambut seseorang itu ditocang atau disanggul, jika tidak sampai air ke dalamnya, tocang dan sanggul itu perlulah dibuka. Bulu-bulu dalam lubang hidung pula tidak wajib dibasuh kerana dianggap batin. Namun, sekiranya bulu-bulu di dlam hidung itu bernajis, maka wajiblah ianya dibasuh sekali.

Jika di dalam kuku terdapat kotoran yang boleh menghalang air untuk sampai ke badan khususnya di bahagian kuku, kotaran tersebut wajiblah dibuang. Kotoran itu boleh dibuang ketika sedang mandi.

Niat Dan Cara Mandi Wajib Haid

Cara-cara untuk mandi wajib yang betul adalah;

  1. Niat ketika air sampai ke tubuh badan
  2. Membaca bismillah
  3. Mencuci tangan sebanyak tiga kali
  4. Mencuci kemaluan dengan tangan kiri
  5. Membersihkan atau menyucikan tangan kiri dengan sabun
  6. Berwudhu. Wudhu juga boleh di ambil seperti wudhu biasa sepertimana biasa dilakukan sebelum menunaikan solat. Cara Mengambil Wudhu – Langkah Demi Langkah boleh dibaca di sini.
  7. Membasuh kepala dengan mengusap rambut secara meratakan kepala atau siram air sebanyak tiga kali ke kepala.
  8. Memulakan dengan bahagian kanan tubuh
  9. Meratakan air ke seluruh tubuh badan

Ketika menyiram kepala, hendaklah dimulakan dengan bahagian kanan, kemudian bahagian kiri dan seterusnya bahagian tengah kepala. Tanggalkan juga ikatan rambut ketika mandi wajib supaya air boleh memasuki ke dalamnya.

 

Perbuatan mandi wajib ini perlulah didahulukan dengan niat dan cara mandi wajib haid perlulah dilakukan dengan betul supaya mandi junub tersebut menjadi sah. Sememangnya, ini adalah perkara yang amat mudah untuk dilakukan tetapi jangan diambil ringan terhadap langkah-langkahnya.

Mungkin anda terlepas pandang atau melakukannya dengan cara yang salah, jadi, eloklah anda perbetulkan dan teliti cara mandi junub anda agar tidak sia-sia ibadat anda nanti. Anak Tak Solat? 9 Tips Ajar Anak Solat Sejak Keciljika anda sudah bersih daripada hadas besar bolehlah anda mengajar anak anak dengan lebih mudah.

Bacaan Al-Quran 30 Juzuk & Cara Melancarkan Pembacaan

Bacaan Al-Quran 30 Juzuk & Cara Melancarkan Pembacaan

Adakah anda selalu berasa susah untuk membaca Al-Quran? Adakah anda jarang menyentuh Al-Quran? Atau anda sering membaca Al-Quran tetapi bacaan anda masih belum lancar dan tidak betul? Kelebihan dapat menghafaz 30 juzuk Al-Quran merupakan impian setiap orang yang bergelar Muslim. Jadi, hari ini saya nak kongsikan cara melancarkan bacaan Al-Quran 30 juzuk.

Bacaan Al-Quran 30 Juzuk & Cara Melancarkan Pembacaan

Niat Yang Betul

Pertama sekali, perkara yang paling penting adalah anda perlu betulkan niat anda sebelum memulakan pembacaan. Tetapkan niat anda membacanya hanya kerana Allah dan ingin melancarkan cara pembacaan anda bukan untuk menunjuk-nunjuk, bukan juga kerana mengikut trend.

Dengan niat yang betul, InshaAllah, Allah akan membantu dan memudahkan anda ketika membacanya. Ingatlah bahawa, Nabi Muhammad SAW digelarkan sebagai Al-Quran bergerak kerana baginda tidak hanya membaca dan mengalaunkan Al-Quran, tetapu baginda juga turut menghidupkan apa yang terkandung dalam Al-Quran tersebut.

Ambil Wuduk

Sebelum anda mula membaca Al-Quran, eloklah anda mengambil wuduk sebagai persediaan mental dan fizikal yang baik. Ia juga untuk mengingatkan anda bahawa anda bukan sekadar membaca ‘buku’ yang biasa. Sebenarnya anda ingin berhubung dengan Allah. Oleh itu, perlulah anda menjaga kebersihan diri dan jadikannya sebagai satu keutamaan yang penting apabila anda ingin menghadap Allah SWT.

Luangkan Waktu

Waktu seringkali menjadi alasan bagi kebanyakan orang menunda belajar. Komitmen yang anda ada telah menterhadkan waktu anda untuk menghadap Allah.  Jika anda bukan seorang yang sentiada membaca Al-Quran, ini pastinya agak berat untuk dilakukan.

Bacaan Al-Quran 30 Juzuk & Cara Melancarkan Pembacaan

Curi masa sekurang-kurangkan 10 ke 20 minit setiap hari untuk membaca Al-Quran. Waktu yang disyorkan adalah selepas masuknya waktu Maghrib sementara menunggu masuknya waktu solat Isyak. Tak perlu lama-lama, yang penting konsisten. Anda juga boleh mencuba membaca satu ke dua halaman. Pilihan waktu dan halaman ini anda boleh sesuaikan mengikut kehendak anda.

Faham Apa Yang Dibaca

Luangkan masa untuk settlekan bacaan Al-Quran 30 juzuk dan fahamkan apa yang anda baca. Walaupun Al-Quran itu dalam bahasa arab, carilah terjemahan supaya anda faham apa yang anda alunkan itu.

Pastikan anda mempunyai terjemahan Al-Quran yang baik dan dalam bahasa yang anda mudah fahami. Sentiasalah membaca terjemahan Al-Quran untuk memahami apa yang anda telah baca. Pasti hati anda akan berasa tenang dan menjumpai jawapan-jawapan yang anda cari daripada setiap permasalahan yang terjadi dalam hidup ini.

Al-Quran bukan hanya sekadar untuk didengar oleh telinga, tetapi harus didengar sampai ke hati. Ini kerana fungsi membaca al-Quran itu ada dua iaitu, kalau tidak untuk menenangkan hati, ia adalah untuk mengubati. Oleh itu, jadikan Al-Quran itu sebagai peti aduan anda.

Jangan Hanya Baca, Dengarkan Juga

Di zaman yang canggih ini, jangan terhadkan diri anda untuk merapatkan diri dengan kalam Allah. Terdapat banyak aplikasi dan audio yang anda boleh download dan dengar mengguakan smartphone anda. Ini secara tidak langsung akan memperbaiki bacaan anda dari semasa ke semasa. Kaedah Belajar Membaca Al-Quran Sendiri akan menerangkan serba sedikit bagaimana cara untuk menghafaz Al-Quran dengan betul dan berkesan.

Belajar Tajwid

Alunan Al-Quran itu sendiri adalah salah satu seni terhebat yang boleh anda lakukan. Untuk membaca dengan mahraj yang betul, anda perlu tingkatkan keindahan bacaan Al-Quran anda. Jadi, anda mestilah belajar tentang hukum-hukum tajwid.

Terdapat juga Al-Quran yang hukum bacaannya dicetak dalam warna yang berbeza untuk memudahkan anda mengenalpasti sesuatu hukum itu dengan cepat. Pada masa yang sama, pembelajaran tajwid juga boleh melancarkan pembacaan anda serta menggunakan alunan yang betul. Anda juga boleh mencuba Cara Mengajar Anak Membaca Iqra untuk melancarkan pembacaan bermula dengan perkataan pendek.

Cari Pembimbing

Al-Quran menggunakan bahasa arab yang bukan bahasa harian anda. Oleh itu, anda memerlukan seorang kawan untuk melihat pembacaan anda. Kawan yang boleh membimbing anda dan sudah fasih bacaannya, bolehlah menyemak pembacaan anda. Sekiranya terdapat kesalahan tajwid, bolehlah dia memperbetulkannya. Dengan itu, anda tidak akan membuat kesalahan yang sama lagi.

Bacaan Al-Quran 30 Juzuk & Cara Melancarkan Pembacaan

Anda boleh pilih seorang pembimbing daripada kalangan rakan sebaya, keluarga atau uztaz/ustazah. Jadi, pilihlah seorang yang sesuai menjadi pembimbing anda dalam membaca Al-Quran ini. Pembimbing ini adalah salah satu Trik Belajar Mengaji Dengan Mudah Dan Cepat.

Untuk melancarkan bacaan Al-Quran 30 juzuk ini memerlukan masa. Tidak perlulah anda terburu-buru untuk cepat lancar, sebaliknya teliti dan perbetulkan secara perlahan-lahan supaya anda akan lebih mudah untuk mengingati kesalahan anda sekaligus melancarkan bacaan anda.

“Seseorang yang lancar membaca Al-Quran akan bersama para malaikat yang mulia dan senantiasa selalu taat kepada Allah, adapun yang membaca Al-Quran dan terbata-bata di dalamnya dan sulit atasnya bacaan tersebut maka baginya dua pahala.” (HR Muslim)

Cara Ambil Wudhu – Langkah Demi Langkah

Cara Ambil Wudhu – Langkah Demi Langkah

Sebelum anda menunaikan solat, hendaklah anda mengambil wudhu terlebih dahulu. Berwudhu adalah salah satu perkara yang amat penting yang perlu dilakukan kerana tanpa wudhu, solat anda adalah tidak sah. Maka, di sini saya nak kongsikan sedikit cara ambil wudhu dengan betul.

Tahukah anda untuk menyentuh Al-Quran juga seelok-eloknya anda perlu berwudhu? Jadi anda boleh mulakan Bacaan Al-Quran 30 Juzuk & Cara Melancarkan Pembacaan anda sebelum menunaikan solat.

Cara Ambil Wudhu - Langkah Demi Langkah

Sebelum anda memulakan wudhu, sila perhatikan tujuh perkara ini:

  1. Orang yang mengambil wudhu itu mestilah seorang Islam.
  2. Orang yang mengambil wudhu itu sudah tahu membezakan yang mana baik dan yang mana buruk, bersih dan kotor, atau disebut juga sebagai mumaiyiz.
  3. Jika yang mengambil wudhu adalah seorang wanita, hendaklah dia suci daripada haid dan nifas.
  4. Pastikan tiada bahan pada kulit yang boleh menghalang air sampai ke kulit seperti lipstick dan plaster yang menampal luka.
  5. Orang yang mengambil wudhu itu perlu tahu fardhu wudhu iaitu yang mana wajib dan yang mana sunat, yang tujuannya adalah agar dia tidak meninggalkan yang fardu.
  6. Gunakan air mutlak atau air yang suci serta mensucikan untuk mengambil wudhu.
  7. Pastikan berwudhu dengan sempurna iaitu air sampai rata pada bahagian-bahagian anggota wudhu.

Fardhu atau rukun wudhu pula mempunyai 6 perkara yang perlu diketahui; iaitu:

  1. Berniat untuk mengambil wudhu.
  2. Membasuh muka dengan meratakan air dari tempat tumbuh rambut kepala hingga kedua-dua tulang dagu dan antara cuping telinga dan anak telinga kiri.
  3. Membasuh dua tangan serta dua siku.
  4. Sapu sebahagian daripada kepala.
  5. Membasuh kedua-dua kaki seta kedua-dua buku lalli.
  6. Tertib.

Ini pula cara-cara untuk mengambil wudhu mengikut step by step. Di sini saya sertakan sekali antara perkara sunat wudhu yang patut dilakukan.

  1. Niat di dalam hati untuk melakukan wudhu.
  2. Membaca Bismillah sambil mencuci kedua belah tangan sampai ke pergelangan tangan.
  3. Berkumur-kumur sebanyak tiga kali.
  4. Memasukkan air ke lubang hidung dan mengeluarkannya sebanyak tiga kali.
  5. Membasuh muka sebanyak tiga kali dari tempat tumbuh rambut kepala hingga ke bawah dagu dan dari telinga kanan hingga ke telinga kiri.
  6. Basuh tangan hingga ke siku sebanyak tiga kali.
  7. Disunnahkan untuk menyapu ke seluruh kepala. Mulakan dengan membasahi kedua tangan dan letakkan kedua telapak tangan di atas rambut bahagian depan, sapukan kedua telapak tangan sehingga ke bahagian belakang kepala dan tarik kembali sehingga sampai ke mula menyapu tadi. Memadai menyapu satu kali tetapi dibolehkan sehingga tiga kali.
  8. Menyapu dengan air ke telinga dan diulangi sebanyak tiga kali.
  9. Membasuh kedua kaki sehingga ke buku lali dan dilakukan sebanyak tiga kali.
  10. Membaca doa berwudhu.

Cara Ambil Wudhu

Setelah selesai mengambil wudhu dengan sempurna, anda juga perlu tahu tentang perkara-perkara yang boleh membatalkan wudhu anda. Hal ini perlu diketahui bagi mengelakkan anda terus bersolat kerana menyangka anda masih dalam keadaan berwudhu. Ingat, solat tanpa wudhu menjadikan solat anda tidak sah. Jadi, sia-sialah solat anda tadi. Berikut adalah perkara-perkara yang boleh membatalkan wudhu sesorang itu.

  1. Keluar sesuatu benda daripada qubul atau dubur seperti air kencing, tahi, kentut dan sebagainya.
  2. Tidur dalam keadaan yang tidak tetap punggungnya seperti tidur mengiring, terlentang, meniarap dan yang serupa dengannya.
  3. Hilang akal dengan sebab mabuk, gila, pitam atau sakit.
  4. Bersentuh kulit diantara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya dengan tidak berlapik. Mahram adalah keluarga yang tidak boleh dikahwini.

Abu Hurairah RA berkata, “Rasulullah SAW bersabda, “Tidak akan diterima solat salah seorang diantara kalian apabila ia berhadas sehinggalah ia berwudhu” (HR Bukhari dan Muslim)

Oleh itu, gunalah cara ambil wudhu yang betul secara tertib dan beringatlah tentang perkara-perkara yang boleh membatalkan wudhu anda. Dengan berwudhu juga anda boleh mula memegang dan menyentuh Al-Quran. Oleh itu, anda boleh terus mengaji dan membaca Al-Quran. Nak hafal Al-Quran Dalam Masa 4 Bulan? Ini Caranya.

Kaedah Belajar Membaca Al-Quran Sendiri

Kaedah Belajar Membaca Al-Quran Sendiri

Terasa di dalam hati itu untuk belajar membaca Al-Quran, tetapi sangat segan nak belajar dengan ustaz atau ustazah kerana sudah berumur baru nak belajar. Tak tahu macam mana nak mula mengaji. Kenal huruf pun sikit-sikit sahaja. Pernah pergi kursus baca Al-Quran tapi belum mahir sepenuhnya. Pernah juga upah ustaz dan ustazah tapi jadual bekerja yang tidak mengizinkan untuk teruskan membaca Al-Quran sendiri menjadikan diri anda seperti melengah-lengahkan perkara yang elok.

Jadi bila diri makin berumur ini baru ada masa untuk diri sendiri, baru ada masa untuk beribadah dengan lebih fokus dan tekun tapi segan bila diperhatikan orang ketika membaca. Tidak mengapa, anda boleh ikuti langkah-langkah ini untuk belajar membaca Al-Quran sendiri.

Kaedah Belajar Membaca Al-Quran Sendiri

Tetapi sebelum itu, anda perlu tahu bahawa belajar membaca Al-Quran sendiri ini memerlukan anda untuk praktis dengan lebih banyak lagi. Bacaan anda perlulah lantang dengan suara yang kuat supaya anda boleh mendengar sendiri bunyi yang anda keluarkan daripada mulut anda.

Ini adalah kerana sekiranya anda tidak keluarkan bunyi ketika anda membaca Al-Quran, anda mungkin akan terlepas pandang cara anda melafazkan sesuatu itu sama ada betul atau salah. Jika anda tidak pasti, anda boleh rujuk di Google atau Youtube cara pembacaan yang betul. Okay, sekarang anda sudah ready untuk tahu empat langkah yang ada perlu lakukan untuk belajar membaca Al-Quran dengan sendiri.

Penguasaan Huruf

Pertama sekali, anda perlu mengenal setiap satu huruf hijayyah. Huruf hijayyah mempunyai 28 huruf. Kuasai setiap huruf-huruf ini dengan bunyi dan sebutannya yang betul supaya anda tidak keliru ketika membacanya nanti. Anda harus hafal dan berani membacanya dengan suara yang keras dan lantang.

Kaedah Belajar Membaca Al-Quran Sendiri

Setiap huruf tersebut mempunyai cara sebutannya yang tersendiri, jadi belajarlah dengan betul agar tidak kekok nanti ketika membaca Al-Quran. Terdapat sesetengah huruf tersebut yang mempunyai sebutan yang lebih kurang sama, jadi anda perlu bezakan sendiri sebutannya dengan cara yang betul.

Penguasaan Huruf Sambung

Setelah anda kenal pasti setiap huruf-huruf hijayyah tersebut beserta sebutan yang betul, anda boleh mula kuasai huruf bersambung. Anda tidak boleh skip cara ini kerana di dalam Al-Quran setiap perkataan adalah bersambung. Jadi, anda perlu kenal huruf-huruf ini bagaimana bentuknya ketika dia bersambung. Ingat, sesetengah huruf apabila bersambung, bentuknya akan menjadi sedikit berbeza daripada yang asalnya.

Sama ada di hadapan, di tengah dan di akhir sambungannya, anda perlu kuasai cara huruf-huruf tersebut disambungkan. Oleh itu, anda perlu perhatikan betul-betul dan fahamkan serta teliti bentuk huruf tersebut supaya kelak ketika membaca Al-Quran akan menjadi lebih lancar pembacaannya. Bacaan Al-Quran 30 Juzuk & Cara Melancarkan Pembacaan boleh anda baca di artikel ini.

Penguasaan Tanda Baca

Kalau di bahasa Malaysia terdapat istilah vokal, di dalam bahasa Arab, kesemuanya adalah huruf konsonan. Jadi, tanda bacalah yang mempengaruhi vokalnya. Sekiranya anda kuasai tanda baca ini, lebih senanglah anda untuk membaca Al-Quran kelak. Tanda baca juga mempunyai kaedah untuk membacanya dengan betul. Maka anda perlulah belajar cara yang tepat dengan sebutannya, dengungnya dan sebagainya.

Kaedah Belajar Membaca Al-Quran Sendiri

Penguasaan Tanda Pendek & Panjang

Akhir sekali anda perlu kuasai penggunaan tanda pendek dan panjang. Di setiap ayat di dalam Al-Quran mempunyai bacaan pendek dan panjangnya. Belajar juga jenis-jenis mad yang akan membantu anda untuk memahami tanda pendek dan panjang tersebut.

Ini adalah salah satu ciri khas bahasa Arab yang mempunyai pendek dan panjang setiap huruf telah diatur dengan baik sekali. Anda juga boleh ikuti artikel ini untuk mendapatkan Trik Belajar Mengaji Dengan Mudah Dan Cepat.

Setelah anda kuasai keempat-empat kaedah di atas, saya pasti anda sudah boleh membaca Al-Quran dengan fasih dan lancar tanpa tersekat-sekat. Anda juga sudah boleh membaca Al-Quran dengan tajwid yang betul setelah anda mahir dalam penguasaan tanda pendek dan panjang. Dah lancar bacaan? Nak hafal Al-Quran dalam masa 4 bulan? Ini caranya.

Anak Tak Solat? 9 Tips Ajar Anak Solat Sejak Kecil

Anak Tak Solat? 9 Tips Ajar Anak Solat Sejak Kecil

Semua pasti sudah jelas dengan kewajipan kita sebagai seorang Islam. Secara umumnya, kewajipan solat 5 kali sehari dan kesemua perkara fardhu yang lain bermula sejak seseorang itu baligh. Ini juga sesuai dengan tuntutan Nabi Muhammad SAW melalui hadith baginda bahawa anak-anak sepatutnya diperintahkan untuk solat seawal usia 7 tahun lagi. Ajarlah anak solat sejak mereka kecil lagi supaya selepas baligh mereka sudah tidak liat untuk menunaikannya sendiri.

Anak Tak Solat? 9 Tips Ajar Anak Solat Sejak Kecil

Sabda Rasulullah SAW, “Perintahkanlah anak kamu sembahyang semasa umur mereka 7 tahun dan pukullah mereka semasa umur 10 tahun serta asingkanlah tempat tidur mereka.” (HR Abu Daud, Al-Hakim & Tirmizi)

Berikut adalah 9 cara dan tips untuk anda ajar anak solat di rumah yang boleh dipraktikkan oleh ibu dan bapa sejak mereka kecil lagi.

Ibu Bapa Menjadi Contoh

Perkara yang paling utama sekali adalah suasana anak-anak ketika mereka membesar. Pendedahan tentang solat itu akan datang dengan sendirinya apabila mereka selalu melihat ibu bapa mereka solat. Solatlah di awal waktu sejurus masuknya waktu solat atau kedengaran azan. Maka, anak-anak akan melihat dan seterusnya mengikut tingkah laku tersebut.

Nampah mudah bukan? Tetapi berat tanggungjawabnya apabila anda sentiasa diperhatikan oleh anak-anak. Namun secara tidak langsung, ianya akan membantu anda juga agar lebih berdisiplin dalam solat. Maka, jadilah pembimbing dan contoh kepada mereka sejak di awal usia lagi. Anda juga boleh menggunakan trik belajar mengaji dengan mudah dan cepat ini supaya anak anda lebih senang untuk belajar daripada anda.

Solat Bersebelahan Anak Kecil

Yang kedua, jangan jadikan anak kecil sebagai alasan untuk anda menangguhkan solat. Sebenarnya, lebih elok jika solat bersebelahan dengan bayi sebaik sahaja masuk waktu solat. Seeloknya, tukar lampin mereka terlebih dahulu supaya bayi boleh mundar-mandir di atas sejadah tanpa kita berasa was-was. Jika bayi anda jenis yang suka menggapai anda ketika anda sedang solat, anda boleh solat sambil mendukung bayi anda.

Walaupun anak anda masih kecil, jangan ingat mereka tidak faham dan tidak tahu. Sejak bayi lagi mereka boleh melihat tabiat ini dan memproses maklumat sehingga ia terlekat dalam ingatan mereka.

Jangan Marah Bila Anak Ganggu Solat

Apabila anak anda mendekati anda sewaktu anda sedang sembahyang, ia sebenarnya adalah salah satu petanda baik. Mereka berkemungkinan mempunyai perasaan ingin tahu akan apa yang sedang anda lakukan. Jadi, jangan marah pada mereka. Sebaliknya, galakkan mereka untuk mendampingi anda. Secara tidak langsung, mereka akan mudah berasa familiar terhadap solat dan tidak berasa kekok untuk meniru pergerakan anda nanti.

Solat Jemaah

Selain itu, anda juga boleh melakukan solat berjemaah di rumah. Ajak anak anda untuk turut sertai anda untuk solat berjemaah bersama. Solat berjemaah bukan saja banyak fadhilatnya, tetapi ia juga boleh menimbulkan rasa seronok untuk anak-anak solat bersama.

Apabila anak anda sudah meningkat usianya, mungkin ada kalanya mereka akan berasa liat untuk solat apabila disuruh. Tetapi, apabila ia dilakukan bersama, inshaAllah ianya mungkin akan terasa lebih mudah.

Lazimi Ayat Al-Quran

Sebagai ibu bapa, anda mungkin tidak dapat sentiasa berada dengan anak anda ketika solat kerana anda bekerja dan jadual yang padat dan sibuk. Jadi, bila anda ada masa, biasakan pasang ayat-ayat Al-Quran semasa di dalam kereta, bacakan ayat-ayat tersebut sebelum tidur atau di mana-mana sahaja yang sesuaian dengan keadaan dan situasi.

Contohnya, anda boleh ulangi bacaan Al-Fatihah, Ayat Kursi, dan 3 Qul kepada anak-anak sebelum masuk waktu tidur.Rutin ini sedikit sebanyak akan membantu mereka untuk menghafal Al-Fatihah, iaitu bacaan wajib dalam setiap solat walaupun mereka belum pandai mengaji.

Jadi, lebih seronok dan mereka akan ada rasa nak ikut solat bersama kerana sudah tahu sikit-sikit bacaannya. Untuk lebih mudah, anda boleh mula mengajar anak membaca buku iqra.

Sediakan Kelengkapan Solat Anak

Seterusnya, anda perlu persiapkan kelengkapan solat mereka untuk menjinak-jinakkan mereka bersolat. Anak kecil ini kebiasaannya akan menjadi lebih bersemangat sekiranya diberi galakan sebegini. Jika ada ruang kosong di rumah, sediakan ruang solat khas untuk solat dalam rumah supaya aktiviti solat, mengaji, atau tazkirah dapat dilakukan dengan keadaan yang tenang dan damai.

9 Tips Ajar Anak Solat Sejak Kecil

Sementara itu, anda boleh juga gunakan masa ini untuk mempraktikkan kaedah belajar membaca alquran sendiri untuk anak anda.

Beri Tugas

Di samping itu, anda juga boleh memberi tugas kepada anak-anak anda. Bagi anak-anak lelaki, anda boleh minta mereka iqamah atau menjadi imam. Kepercayaan yang kita beri kepada mereka sedikit sebanyak akan menyuntik rasa tanggungjawab dalam diri mereka. Mereka juga pasti akan berasa penting di mata ibu bapa mereka dan ia juga sebenarnya memberi dorongan kepada anak-anak untuk menunaikan solat sebaik yang mungkin.

Biasakan Anak Ke Masjid

Anda juga perlu membiasakan membawa anak-anak anda ke masjid tanpa menunggu bulan Ramadhan. Apabila ada waktu kelapangan, bawalah keluarga anda bersama pergi ke masjid untuk solat berjemaah. Pada mulanya, ibu bapa akan berasa agak susah sikit untuk mengawal, memantau dan menjaga anak ketika di masjid.

Namun, tanpa disedari mereka akan develop rasa suka akan masjid sejurusnya menjadikan mereka suka untuk beribadat di masjid. Malah, mereka mungkin akan bertemu dengan rakan mereka di masjid. Apabila bertemu dengan rakan mereka, mereka pasti akan berasa lebih seronok untuk solat berjemaah bersama.

Doakan Anak Selalu

Akhir sekali, sebagai ibu bapa, janganlah anda lupa untuk mendoakan anak-anak anda agar mereka rajin untuk mendirikan solat, malah beribadat dengan lebih tekun.

9 Tips Ajar Anak Solat Sejak Kecil

Amalkan doa daripada Surah Ibrahim, Ayat 40 yang bermaksud, “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku seorang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.” Bimbinglah anak-anak anda melakukan kebaikan dan beribadat kerana Allah sejak dari kecil lagi.

Didiklah anak-anak anda berdisiplin dalam menunaikan solat dan terapkan rasa kasih sayang dan sama sekali tidak menggunakan kekerasan, ugutan dan juga paksaan. Sementera itu, anda boleh dapatkan tips mengajar anak mengaji tanpa memaksa mereka di sini. Oleh itu, cuba praktikkan setiap tips yang telah ditunjukkan di atas dalam mengajar anak solat sesuai dengan minat dan sikap mereka yang tersendiri.

Sememangnya, mendidik anak solat ini memerlukan kesabaran yang tinggi, tetapi yakinlah bahawa setiap usaha anda akan dinilai oleh Allah SWT walau apa pun hasilnya. Mudah-mudahan anak-anak anda akan lembut hatinya, lebih bersemangat dan tekun dalam mendirikan solat.

Anak Tak Mahu Mengaji? 5 Tips Mengajar Anak Mengaji Tanpa Memaksa

Anak Tak Mahu Mengaji? 5 Tips Mengajar Anak Mengaji Tanpa Memaksa

Susah nak ajar anak mengaji? Pasti ramai ibu bapa yang mengalami masalah ini kan? Anak tak mahu mengaji ini merupakan antara situasi yang normal bagi seorang ibu atau bapa. Bagaimana nak tarik perhatian seorang anak daripada tak mahu mengaji ke seorang yang tak sabar-sabar nak mengaji? Bukan senang nak tarik perhatian kanak-kanak lagi-lagi seusia 3 tahun lagi.

Tetapi, seelok-eloknya, kita perlulah melentur buluh dari rebungnya supaya apabila dia sudah besar nanti, dia tidak terkial-kial untuk membaca ayat suci Al-Quran. Merotan, memarahi dan menggunakan cara paksaan terhadap anak seusia 3 tahun untuk mengaji hanya akan membuat mereka hilang rasa ingin belajar mengaji tersebut. Jadi, macam mana nak ajar anak mengaji tanpa memaksa?

Anak Tak Mahu Mengaji? 5 Tips Mengajar Anak Mengaji Tanpa Memaksa

Kenalkan Huruf Guna Kad Imbasan

Mula-mula anda perlu mengajar anak anda untuk mengenal huruf-huruf di dalam Al-Quran terlebih dahulu. Cara paling mudah adalah dengan menggunakan pendekatan bermain menggunakan kad imbasan. Ajar anak mengenal huruf hijayyah dalam setiap permainannya supaya mereka biasa dengan huruf-huruf ini.

Perkenalkan Alif Ba Ta kepadanya secara berperingkat untuk menarik minat mereka. Berikan ganjaran seperti kismis atau lain-lain yang boleh menjadi penyebab mereka bersungguh-sungguh untuk menjawab dengan betul.

Guna Alunan Lagu

Selain itu, anda juga boleh menggunakan teknik nyanyian atau alunan lagu berunsurkan ayat-ayat suci Al-Quran. Tarik perhatian mereka dengan alunan yang menarik minat mereka dengan sebaiknya. Di dalam kereta anda perlu biasakan memasang CD mengaji setiap hari. Kanak-kanak diusia awal ini lebih mudah untuk ‘tangkap’ dengan apa yang didengarnya.

Jadi, jika mereka dengar dengan kerap, maka pastinya mereka akan mudah untuk mengikutnya. Sentiasa juga mengucapkan kalimah Allah walau di mana berada. Jangan sesekali paksa anak anda. Sebaliknya pupuk minat mereka secara perlahan-lahan. Sekiranya mereka tidak menunjukkan minat dari segi ini, gunakan teknik yang lain pula.

5 Tips Mengajar Anak Mengaji Tanpa Memaksa

Beli Buku Yang Menarik

Disiplinkan diri anda dan anak anda untuk mengaji sekerap mungkin. Curi masa dalam 15 ke 20 minit sehari untuk mengajar anak mengaji. Belikan buku-buku bacaan untuk mengaji yang menarik. Buku latihan yang meminta anak-anak mengisi tulisan jawi atau simbol-simbol mengaji, menyambungkan titik-tiktik huruf juga dapat membantu dan menarik minat anak-anak untuk belajar dengan lebih mudah.

Bacakan surah pada anak sebelum mereka tidur malam dan sebelum mereka bangun dari tempat tidur waktu pagi. Lama-kelamaan mereka akan adapt dan boleh mengikut kita membacanya sekali. Kemudiannya, mereka sudah boleh menggunakan Kaedah Belajar Membaca Al-Quran Sendiri.

Tampal Di Dinding

Anda juga boleh menggunakan teknik dengan menampal huruf jawi tersebut secara besar-besaran di tempat yang senang dan selalu dilihat. Tampal pelekat di dalam biliknya dengan menggunakan kertas yang bersaiz besar yang mengandungi huruf jawi tersebut. Lebih banyak mereka melihat huruf tersebut, lebih mudah untuk huruf tersebut dapat tersemat di dalam ingatannya.

Jadi, tampallah di tempat yang di mana mereka akan mudah nampak dan kerap berada di situ. Contohnya seperti di hadapan almari baju, di meja bekerja, atau juga di atas meja makan. Anda juga boleh letakkan ia di dalam kereta sebagai bahan bacaan ringan.

Ajar Membaca Doa

Akhir sekali, anda perlulah membiasakan diri untuk mengajar anak anda membaca doa. Doa makan, doa masuk dan keluar tandas, doa sebelum tidur dan bangun tidur, doa memulakan pembelajaran, doa naik kenderaan dan lain-lain lagi.

Semoga lama-kelamaan, bila mereka sudah menghafal, maka hati mereka akan terminat untuk mengaji dengan lebih mudah dan dapat melafazkan doa tersebut sewaktu bersendirian tanpa bantuan orang lain. Dengan doa juga, ianya dapat melembutkan hati dan mendekatkan diri dengan pencipta kita.

Ingat, jangan sesekali anda memaksa anak anda untuk mengaji dengan merotan atau memarahi mereka. Itu akan membuatkan mereka hilang rasa seronok untuk belajar mengaji dengan suka rela. Jika mereka kerap dipaksa untuk mengaji, berkemungkinan kelak mereka akan rasa tak suka dan benci untuk belajar mengaji.

Jadi, mengajar anak mengaji menggunakan cara yang berlemah lembut dan ‘paksa’ secara halus lebih mudah untuk menarik minat mereka. Anda juga boleh gunakan Cara Mengajar Anak Membaca Buku Iqra dengan lebih berkesan di sini.

Cara Mengajar Anak Membaca Buku Iqra

Cara Mengajar Anak Membaca Buku Iqra

Iqra adalah buku pertama yang dapat membantu anak-anak mahupun dewasa yang belum mahir untuk memulakan membaca Al-Quran. Dengan belajar membaca Iqra sebelum membaca Al-Quran, inshaAllah dapat menjadikan pembacaan Al-Quran anda lebih lancar beserta tajwid yang betul. Berbanding dengan cara lain, membaca buku Iqra dapat membantu anak-anak anda belajar dengan lebih cepat dan mudah untuk difahami, menarik dan cara pembelajaran juga lebih seronok. Jadi, kali ini saya nak jelaskan sedikit cara untuk mengajar anak membaca buku Iqra.

Cara Mengajar Anak Membaca Buku Iqra

Bacaan Terus Tanpa Analisa & Dieja

Cara pertama adalah dengan bacaan secara terus, tanpa analisa dan dieja. Pelajar terus diperkenalkan dengan bunyi setiap satu huruf dengan menggunakan bahan pengajaran. Pelajar juga tidak diperkenalkan terlebih dahulu kepada nama-nama huruf tersebut dan tanda-tanda bacaan.

Penggunaan Teks Tertentu

Cara kedua adalah pengajaran dan pembelajaran menggunakan satu set buku yang mengandungi 6 jilid. Jilid buku adalah mengikut tahap kepandaian dan kelancaran lebih tinggi jilidnya, lebih mencabar cara pembacaannya. Pelajar diasingkan mengikut tahap masing-masing bermula dari jilid pertama. Dengan buku yang berwarna-warni untuk menarik minat pelajar untuk saling berlumba-lumba untuk kenaikkan ke jilid seterusnya. Ia juga untuk tidak menimbulkan rasa jemu di kalangan pelajar.

Teknik Pengajaran Cara Belajar Murid Aktif (CBMA)

Teknik pengajaran yang seterusnya adalah dengan cara belajar murid aktif. Dalam pembelajaran, yang belajarnya adalah pelajar dan bukan guru-gurunya. Oleh itu, setelah guru menerangkan pokok pengajaran dan pelajar sudah jelas setelah mengulanginya beberapa kali, maka pelajar disuruh untuk membaca bahan berikutnya dengan sendirinya. Sekiranya bacaan pelajar tersebut salah atau mereka keliru akan sesuatu, jangan sesekali memarahinya, sebaliknya perbetulkan kesilapan tersebut dengan memberi peringatan bagaimana ia dibacakan. Contohnya seperti; “Cuba ulang lagi sekali cara bacaan” diikuti dengan cara bacaan yang betul.

Tahap Berasaskan Pencapaian Individu

Seterusnya, cara yang boleh digunakan adalah mengajar mengikut tahap pencapaian setiap individu. Tahap pencapaian dan kelajuan pelajar dalam mengikut bahan pengajarannya adalah bergantung kepada kecekapan setiap individu pelajar tersebut dan peranan gurunya. Bagi menyenangkan, rekod setiap prestasi pelajar untuk dinilai dan pengesanan perlu disediakan.

Tenaga Pembimbing/Pembantu

Selain itu juga, seorang guru membimbing lima hingga ke enam orang pelajar sahaja dalam satu masa. Sekiranya keadaaan memerlukan, guru boleh meminta tolong pelajar tertentu untuk membantu dan menyemak bagi pelajar-pelajar lain yang diperingkat yang lebih rendah.

Praktis

Praktis dengan kerap juga dapat membantu untuk melancarkan pembacaan Iqra. Tujuan membaca Iqra adalah supaya pelajar cepat belajar dan kelak akan lebih senang untuk membaca Al-Quran kerana sudah memahami penggunaan tajwid dan sebagainya. Soal teori dan ilmiah tajwid akan diajar setelah pelajar berupaya dan bertadarrus Al-Quran. Istilah tajwid tidak diajar tetapi mempraktikkan sebutannya telah diajar semasa membaca Iqra. Anda juga boleh ikuti Kaedah Belajar Membaca Al-Quran Sendiri untuk meningkatkan prestasi bacaan anda.

Sistematik

Buku Iqra telah disusun secara lengkap, sempurna dan terancang dengan bentuk huruf dan reka letak yang seimbang. Buku Iqra cukup sistematik, bermula daripada mengenalkan huruf-huruf tunggal kepada pelajar, huruf-huruf sambung dan berirama (mad), kemudian huruf-huruf pelbagai baris peringkat demi peringkat sehingga ke peringkat ayat yang bermakna. Ianya terasa mudah kerana prosesnya yang bersifat peningkatan dan membuatkan pelajar lebih senang untuk pelancaran pembacaan secara menyeluruh.

Komunikatif

Lingkaran petunjuk dan pengenalan adalah rapat dengan pembaca sehingga dapat menyeronokkan pelajar untuk mempelajarinya. Disusun dalam bahasa Melayu yang memudahkan pelajar untuk mengerti dan memahaminya. Selain itu, pembelajaran juga diajar secara berirama sejak awal lagi iaitu dengan penggunaan mad dibaca panjang dan tanpa mad dibaca pendek. Ia boleh menarik minat pelajar untuk terus belajar supaya berasa seronok dalam membaca dan mendengarnya.

Kelenturan dan Mudah

Buku Iqra boleh dipelajari oleh sesiapa sahaja bermula daripada kalangan kanak-kanak di usia tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, malah orang dewasa juga mahupun ibu bapa yang belum mahir membaca Al-Quran. Malah, pelajar yang baru sahaja tamat jilid 2 atau 3 juga boleh mengajar pelajar yang masih di peringkat jilid 1. Ianya dapat meningkatkan kemahiran yang mengajar dan juga yang belajar tersebut. Pelajar yang di ajar juga akan berasa lebih mudah untuk bertanya kepada pelajar yang mengajarnya itu kerana lebih selesa tanpa perlu rasa segan.

Cara Mengajar Anak Membaca Buku Iqra

Talaqqi Musyafahah

Akhir sekali, cara yang boleh digunakan mengajar anak membaca buku Iqra adalah dengan mengajar secara Talaqqi Musyafahah. Kaedah ini telah digunakan sejak dahulu lagi, iaitu dengan mengajar secara berdepan secara langsung di antara guru dengan pelajar seperti mana yang telah dilakukan oleh Jibril AS kepada Rasulullah SAW. Jibril membaca terlebih dahulu bacaan ayat suci Al-Quran dan didengari oleh Rasulullah SAW kemudian Rasulullah meniru bacaan tersebut sambil diperhatikan oleh Jibril. Kaedah ini boleh dipraktikkan ketika mengajar pelajar yang baru mula untuk membaca Iqra.

Diharap dengan beberapa cara dan kaedah yang telah diterangkan di atas dapat membantu anda mengajar anak-anak anda untuk membaca buku Iqra dengan lebih mudah. Anak Tak Mahu Mengaji? 5 Tips Mengajar Anak Mengaji Tanpa Memaksa ini pasti dapat membantu anda.