fbpx

Penggunaan Internet Berdasarkan Agama yang WAJIB kita ambil tahu !

Dalam zaman teknologi yang maju ini, pasti ramai anak-anak muda yang sudah terdedah kepada penggunaan internet. Penggunaan internet ini semakin lama semakin banyak mempengaruhi kehidupan seharian seseorang sama ada yang elok ataupun tidak, baik orang muda mahupun orang tua. Di dalam agama Islam juga terdapat batas-batas pergaulan yang perlu diambil kira.

 

Namun, akibat dari penggunaan internet yang tidak sepatutnya dalam menyebarkan informasi tanpa usul periksa latar belakang atau kesahihannya menyebabkan banyak perkara menjadi ikutan yang tidak elok. Oleh itu, suatu penggunaan internet berdasarkan agama Islam perlu dijalankan untuk mengurangkan masalah tersebut.

Penggunaan Internet Dalam Berkomunikasi

Ramai yang sering cenderung untuk melupakan penggunaan internet ketika berinteraksi dan berkomunikasi di laman sosial. Hal ini dapat dibuktikan dengan banyaknya perkataan-perkataan kasar yang terlalu kerap muncul semasa melakukan percakapan di ruangan di internet.

Alangkah lebih elok sekiranya seseorang itu melakukan komunikasi di internet dengan menggunakan bahasa dan perkataan yang baik dan sopan. Bahasa yang baik dan sopan mencerminkan agama Islam itu sendiri. Biasakanlah diri untuk menggunakan bahasa yang tepat walau dengan sesiapapun ketika berinteraksi terutama sekali di media sosial.

Hentikan Penyebaran unsur negatif dalam penggunaan internet

Penyebaran perkara-perkara yang berunsur negatif seperti unsur-unsur agama, suku dan ras dan juga aksi-aksi kekerasan dalam penggunaan internet. Penyebaran perkara yang tidak elok kepada orang lain bukan sahaja boleh merosakkan masyarakat, malah mengaibkan sesuatu pihak dan ianya boleh mendatangkan dosa kepada sesiapa yang menyebarkannya dan melihat atau mengamalkannya.

Sebaliknya, biasakan diri menyebarkan perkara-perkara yang berfaedah, berguna dan memberikan ilmu pengetahuan kepada orang lain. Hindarkan menyebarkan perkara yang boleh menimbulkan konflik dan pergaduhan sesama manusia. Hindarkan juga menyebarkan gambar yang berunsur kekerasan seperti gambar kemalangan lalu lintas dan sebagainya.

Sekiranya kita tidak dapat membantu keluarga orang yang menimpa kemalangan tersebut, janganlah kita menambahkan kesedihan kepada mereka. Hal ini juga untuk mengajar generasi muda supaya tidak mudah terpengaruh dengan perkara-perkara negatif dan kekerasan yang dilihat di media sosial.

Menghargai Hasil Karya Orang Lain

Ramai yang tidak mengambil kisah tentang hal ini. Mengambil gambar atau informasi sama ada dalam bentuk tulisan ataupun gambar mahupun video milik orang lain tanpa pengetahuan pemilik informasi tersebut boleh membuatkan anda melanggar hak cipta.

Hasil karya pemilik yang asli berkemungkinan telah diubah suai dan membuatkan perkara yang ingin disampaikan oleh penulis asal tidak seiring dengan maksudnya. Ini juga akan menimbulkan kekeliruan bagi sesetenagh pihak lagi-lagi berkaitan agama.

Sebaliknya cara yang elok adalah dengan meminta kebenaran daripada pemilik asal informasi tersebut. Sekiranya anda tidak pasti siapa pemiliknya, elakkan daripada menyebarkannya kerana ianya mungkin akan menimbulkan perkara-perkara yang tidak diingini kelak.

Jangan Menyebarkan Informasi Peribadi

Anda seharusnya bijak dalam ketika ingin berkongsi maklumat mengenai kehidupan peribadi dan privasi anda dalam penggunaan  internet lagi-lagi di media sosial. Bagi seorang perempuan terutamanya, jangan terlalu mudah percayakan orang yang anda tidak kenali dengan memberikan informasi peribadi anda seperti alamat rumah, nombor kad pengenalan, nombor telefon termasuklah gambar-gambar yang tidak menutup aurat.

Banyak perkara yang tidak diingini sudah berlaku akibat daripada terlalu percayakan orang yang tidak dikenali di media sosial. Berkemungkinan ada diantara mereka yang cuba untuk untuk menjatuhkan maruah anda dan sebagainya. Jadi, berhati-hatilah ketika anda ingin berkongsi maklumat anda.

Periksa Kesahihan Berita

Sebelum anda ingin menyebarkan sesuatu berita di laman sosial tersebut, pastikan anda sudah memeriksa kebenaran dan kesahihan berita tersebut. Penyebaran tanpa usul periksa inilah yang kadang-kadang bertujuan untuk menjatuhkan nama orang lain. Jadi, sebelum anda ingin menyebarkan sesuatu pastikan anda sudah memeriksanya terlebih dahulu.

Perkara yang anda tidak pasti akan kesahihannya, janganlah anda sebarkan kerana ianya mungkin akan bercanggah dengan perkara yang sebenar. Perkara yag tidak pasti ini juga mungkin boleh mengaibkan sesetengah pihak dan boleh menimbulkan fitnah tanpa anda sedari.

Penggunaan internet mempunyai banyak kelebihannya di zaman serba canggih ini. Namun disebalik kecanggihan ini, ada diantaranya cuba untuk menggunakan medium ini sebagai cara untuk meruntuhkan akhlak anak muda yang mudah terpengaruh ini. Sentiasalah berwaspada dengan perkara yang berlaku di internet agar anda tidak menjadi salah seorang pemangsa atau mangsanya.

Semoga anak muda dan golongan yang lain dapat memanfaatkan penggunaan internet khususnya dalam konteks pembelajaran dan pengajaran terutama dalam pasca Covid-19 ini yang kebanyakannya melaksanakan pembelajaran kelas secara online.