fbpx
bulan ramadan

Bulan Ramadan Beserta 15 Keistimewaannya

15 Keistimewaan Bulan Ramadan

bulan ramadan

Ramadan dari segi bahasa bermaksud panas terik manakala dari segi istilah pula bermaksud bulan rahmat yang diwajibkan berpuasa padanya. Ia juga dikenali sebagai ‘Shahrun Mubarak’ yang memberi erti bulan keberkatan.

Apa istimewanya bulan Ramadan ini?

Berikut merupakan antara keistimewaan bulan Ramadan yang mungkin anda belum ketahui:

Al-Quran Diturunkan

Al-Quran yang merupakan sumber syariat Islam diturunkan pada bulan Ramadan. Malah terdapat firman Allah tentang perintah pada bulan itu yang telah diungkapkan oleh Rasulullah SAW melalui malaikat Jibril untuk disampaikan kepada segenap umat Islam agar terhindar dari jalan yang sesat.

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.

Surah Al-Baqarah: 185

Bulan Penuh Kebaikan

“Apabila telah datang bulan Ramadhan, pintu-pintu langit dibuka, sedangkan pintu-pintu neraka akan ditutup, dan syaitan dibelenggu.”

HR Bukhari dan Muslim

Ramadan adalah bulan terbaik untuk membuat amal kebaikan kerana setiap amalan akan digandakan pahalanya.

Tiada malam yang lebih baik daripada malam bulan Ramadan. Rugilah bagi mereka yang sia-siakan peluang untuk beramal kerana belum tentu mereka dapat berjumpa Ramadan pada tahun hadapan.

Bulan Pengampunan Dosa

“Barangsiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh iman dan mengharap pahala, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.”

HR Bukhari dan Muslim

Allah akan mengampuni dosa hambanya sebanyak mana sekalipun ketika itu sekiranya dia bersungguh-sungguh bertaubat dan menjalankan ibadah Ramadan dengan ikhlas. Pintu kebaikan akan terbuka luas untuknya dan berdoa kepada Allah supaya diampunkan dosanya.

Kesempatan Taubat

“Celakalah seseorang, ia memasuki bulan Ramadhan kemudian melaluinya sedangkan dosanya belum diampuni.”

HR Tirmidzi dan Ahmad

Banyakkanlah berdoa dan minta keampunan di atas segala dosa yang telah dilakukan. Bertaubatlah kerana ianya akan menjadikan kita seperti orang yang baru dan bersih dari segala dosa.

15 Keistimewaan Bulan Ramadhan

Pahala Berlipat Ganda

“Pahala umrah pada bulan Ramadhan menyamai pahala ibadah haji.”

HR Bukhari dan Muslim

Umrah yang dilakukan pada bulan lain selain Ramadan hanya kan mendapat pahala biasa. Tetapi, jika umrah dilakukan pada bulan ini, pahalanya akan dilipat kali gandakan. Sebegitu istimewa bulan Ramadan.

Lailatul Qadar

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

Surah Al-Qadr: 1-5

Tiada malam yang lebih indah dan lebih baik daripada Laitatul Qadar. Lailatul Qadar hanya ada pada bulan Ramadan. Namun malam istimewa ini dirahsiakan daripada pengetahuan kita. Kita digalakkan untuk selalu bersungguh melakukan amal ibadah agar dapat bertemu malam yang penuh dengan keberkatan itu.

I’tikaf Dengan Tenang

Bulan ini adalah waktu yang paling terbaik untuk i’tikaf kerana di bulan inilah Allah memperhatikan hambaNya secara langsung.

Ramadhan

“Adalah Nabi SAW beri’tikaf pada sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadhan, sampai beliau wafat, kemudian isteri-isteri baginda pun beri’tikaf setelahnya.”

HR Bukhari Muslim

Tidak Menghalang Urusan Duniawi

Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib); dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya.

Surah Al-Baqarah: 187

Bulan puasa bukanlah bulan yang dilarang untuk melakukan urusan duniawi. Salah satunya adalah keluar bekerja mencari rezeki. Niatkan setiap perlakuan pekerjaan kita itu kerana Allah.

Menghargai Nikmat Luar Biasa Makan & Minum

Pada hari-hari biasa kita biasa terlupa akan nikmat-nikmat kecil seperti ini. Namun, pada bulan ini, kita belajar untuk menghargai setiap nikmat makan dan minum yang Allah beri.

Malah, ada juga saudara kita di luar sana terpaksa ‘berpuasa’ setiap hari kerana kurang berkemampuan bagi memenuhi keperluan asas itu.

Ibadah Khusus Solat Tarawih

“Barangsiapa yang berdiri solat pada bulan Ramadan dengan penuh iman dan mengharap pahala maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.”

HR Bukhari dan Muslim

Kalau boleh, pastikan setiap malam Ramadan kita dipenuhi dengan solat terawih. Hukumnya sunat muakkad yang bermaksud sangat digalakkan untuk ditunaikan.

Waktu Dikabulkan Doa

bulan

Bulan Ramadan adalah bulan yang mustajab untuk berdoa. Doa yang dilakukan dengan ikhlas dengan penuh beradab dan dilakukan pada waktu yang baik sudah tentu akan dimakbulkan Allah SWT.

Antara waktu yang mustajab untuk berdoa adalah ketika sahur dan berbuka, di sepertiga malam yang terakhir, setelah solat dan ketika melakukan i’tikaf. Bahkan setiap hari sepanjang bulan Ramadan adalah waktu yang mustajab berdoa.

Waktu Terbaik Sedekah

“Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadhan.”

HR Tirmidzi

Tidak semua orang berkemampuan untuk membeli makanan, membeli baju baru atau memilih tempat tinggal yang diinginkan.

Dengan sedekah, sedikit sebanyak boleh membantu meringankan beban mereka yang memerlukan. Kita takkan tahu seberapa besar nikmat pertolongan itu buat mereka.

Tidak Ada Syaitan Penganggu

“Jika datang bulan Ramadhan, pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu.”

HR Bukhari

Kecenderungan kita untuk melakukan maksiat pada bulan puasa adalah kerana hawa nafsu kita sendiri. Perasaan itu boleh dicegah dengan memperbanyakkan amal ibadah seperti berdoa kepada Allah agar diberi petunjuk dan membaca Al-Quran.

Jika anda mahu belajar membaca Al-Quran dan menambah pahala, klik saya mahu belajar Al-Quran online! untuk maklumat lanjut.

Marilah sama-sama kita ambil peluang untuk menambah amalan pahala ketika Ramadan. Betapa ruginya jika Ramadan berlalu tanpa membawa perubahan dalam diri kita.