Cara Mengajar Anak Membaca Buku Iqra

Iqra adalah buku pertama yang dapat membantu anak-anak mahupun dewasa yang belum mahir untuk memulakan membaca Al-Quran. Dengan belajar membaca Iqra sebelum membaca Al-Quran, inshaAllah dapat menjadikan pembacaan Al-Quran anda lebih lancar beserta tajwid yang betul. Berbanding dengan cara lain, membaca buku Iqra dapat membantu anak-anak anda belajar dengan lebih cepat dan mudah untuk difahami, menarik dan cara pembelajaran juga lebih seronok. Jadi, kali ini saya nak jelaskan sedikit cara untuk mengajar anak membaca buku Iqra.

Cara Mengajar Anak Membaca Buku Iqra

Bacaan Terus Tanpa Analisa & Dieja

Cara pertama adalah dengan bacaan secara terus, tanpa analisa dan dieja. Pelajar terus diperkenalkan dengan bunyi setiap satu huruf dengan menggunakan bahan pengajaran. Pelajar juga tidak diperkenalkan terlebih dahulu kepada nama-nama huruf tersebut dan tanda-tanda bacaan.

Penggunaan Teks Tertentu

Cara kedua adalah pengajaran dan pembelajaran menggunakan satu set buku yang mengandungi 6 jilid. Jilid buku adalah mengikut tahap kepandaian dan kelancaran lebih tinggi jilidnya, lebih mencabar cara pembacaannya. Pelajar diasingkan mengikut tahap masing-masing bermula dari jilid pertama. Dengan buku yang berwarna-warni untuk menarik minat pelajar untuk saling berlumba-lumba untuk kenaikkan ke jilid seterusnya. Ia juga untuk tidak menimbulkan rasa jemu di kalangan pelajar.

Teknik Pengajaran Cara Belajar Murid Aktif (CBMA)

Teknik pengajaran yang seterusnya adalah dengan cara belajar murid aktif. Dalam pembelajaran, yang belajarnya adalah pelajar dan bukan guru-gurunya. Oleh itu, setelah guru menerangkan pokok pengajaran dan pelajar sudah jelas setelah mengulanginya beberapa kali, maka pelajar disuruh untuk membaca bahan berikutnya dengan sendirinya. Sekiranya bacaan pelajar tersebut salah atau mereka keliru akan sesuatu, jangan sesekali memarahinya, sebaliknya perbetulkan kesilapan tersebut dengan memberi peringatan bagaimana ia dibacakan. Contohnya seperti; “Cuba ulang lagi sekali cara bacaan” diikuti dengan cara bacaan yang betul.

Tahap Berasaskan Pencapaian Individu

Seterusnya, cara yang boleh digunakan adalah mengajar mengikut tahap pencapaian setiap individu. Tahap pencapaian dan kelajuan pelajar dalam mengikut bahan pengajarannya adalah bergantung kepada kecekapan setiap individu pelajar tersebut dan peranan gurunya. Bagi menyenangkan, rekod setiap prestasi pelajar untuk dinilai dan pengesanan perlu disediakan.

Tenaga Pembimbing/Pembantu

Selain itu juga, seorang guru membimbing lima hingga ke enam orang pelajar sahaja dalam satu masa. Sekiranya keadaaan memerlukan, guru boleh meminta tolong pelajar tertentu untuk membantu dan menyemak bagi pelajar-pelajar lain yang diperingkat yang lebih rendah.

Praktis

Praktis dengan kerap juga dapat membantu untuk melancarkan pembacaan Iqra. Tujuan membaca Iqra adalah supaya pelajar cepat belajar dan kelak akan lebih senang untuk membaca Al-Quran kerana sudah memahami penggunaan tajwid dan sebagainya. Soal teori dan ilmiah tajwid akan diajar setelah pelajar berupaya dan bertadarrus Al-Quran. Istilah tajwid tidak diajar tetapi mempraktikkan sebutannya telah diajar semasa membaca Iqra. Anda juga boleh ikuti Kaedah Belajar Membaca Al-Quran Sendiri untuk meningkatkan prestasi bacaan anda.

Sistematik

Buku Iqra telah disusun secara lengkap, sempurna dan terancang dengan bentuk huruf dan reka letak yang seimbang. Buku Iqra cukup sistematik, bermula daripada mengenalkan huruf-huruf tunggal kepada pelajar, huruf-huruf sambung dan berirama (mad), kemudian huruf-huruf pelbagai baris peringkat demi peringkat sehingga ke peringkat ayat yang bermakna. Ianya terasa mudah kerana prosesnya yang bersifat peningkatan dan membuatkan pelajar lebih senang untuk pelancaran pembacaan secara menyeluruh.

Komunikatif

Lingkaran petunjuk dan pengenalan adalah rapat dengan pembaca sehingga dapat menyeronokkan pelajar untuk mempelajarinya. Disusun dalam bahasa Melayu yang memudahkan pelajar untuk mengerti dan memahaminya. Selain itu, pembelajaran juga diajar secara berirama sejak awal lagi iaitu dengan penggunaan mad dibaca panjang dan tanpa mad dibaca pendek. Ia boleh menarik minat pelajar untuk terus belajar supaya berasa seronok dalam membaca dan mendengarnya.

Kelenturan dan Mudah

Buku Iqra boleh dipelajari oleh sesiapa sahaja bermula daripada kalangan kanak-kanak di usia tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, malah orang dewasa juga mahupun ibu bapa yang belum mahir membaca Al-Quran. Malah, pelajar yang baru sahaja tamat jilid 2 atau 3 juga boleh mengajar pelajar yang masih di peringkat jilid 1. Ianya dapat meningkatkan kemahiran yang mengajar dan juga yang belajar tersebut. Pelajar yang di ajar juga akan berasa lebih mudah untuk bertanya kepada pelajar yang mengajarnya itu kerana lebih selesa tanpa perlu rasa segan.

Cara Mengajar Anak Membaca Buku Iqra

Talaqqi Musyafahah

Akhir sekali, cara yang boleh digunakan mengajar anak membaca buku Iqra adalah dengan mengajar secara Talaqqi Musyafahah. Kaedah ini telah digunakan sejak dahulu lagi, iaitu dengan mengajar secara berdepan secara langsung di antara guru dengan pelajar seperti mana yang telah dilakukan oleh Jibril AS kepada Rasulullah SAW. Jibril membaca terlebih dahulu bacaan ayat suci Al-Quran dan didengari oleh Rasulullah SAW kemudian Rasulullah meniru bacaan tersebut sambil diperhatikan oleh Jibril. Kaedah ini boleh dipraktikkan ketika mengajar pelajar yang baru mula untuk membaca Iqra.

Diharap dengan beberapa cara dan kaedah yang telah diterangkan di atas dapat membantu anda mengajar anak-anak anda untuk membaca buku Iqra dengan lebih mudah. Anak Tak Mahu Mengaji? 5 Tips Mengajar Anak Mengaji Tanpa Memaksa ini pasti dapat membantu anda.

Leave a Comment

Your email address will not be published.