fbpx
sedekah

Bentuk-Bentuk Sedekah Jariyah

Bentuk-Bentuk Sedekah Jariyah

Sedekah. Apakah kefahaman yang anda dapat menerusi amalan sedekah?

Dari segi bahasa, sedekah bermaksud pemberian yang ikhlas dari hati yang bersih. Dari segi istilahnya pula bermaksud sesebuah pemberian yang dilakukan semata-mata untuk mendekatkan diri dan meraih keredhaan Allah SWT.

Secara umumnya, sedekah merangkumi sama ada yang sunat mahupun yang fardhu. Sedekah fardhu hanya ada satu, iaitu pemberian zakat.

Betulkah orang kata, pahala bersedekah boleh berterusan mengalir kepada kita walaupun hingga ke liang lahad sekalipun?

sedekah

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripada amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariyah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak soleh yang mendoakan baginya.

Hadis riwayat Muslim

Berdasarkan petikan hadith di atas, kita dapat fahami bahawa sedekah jariyah adalah sedekah yang mengalir pahalanya kerana ia bersifat kekal dan manfaatnya boleh digunakan walaupun si penyumbangnya telah meninggal dunia, seperti amalan wakaf.

Walaupun ada yang beranggapan bersedekah ini amalan remeh dan merugikan satu pihak, Islam sangat menggalakkan kita untuk bersedekah.

Dalam Islam, konsep sedekah tidak hanya terbatas daripada segi kewangan dan harta benda sahaja. Bahkan, ia juga boleh datang daripada segi tumpahan khidmat dan keringat, seperti menyampaikan ilmu yang bermanfaat kepada orang.

Jangan hanya kerana sekarang anda tidak melihat atau merasakan faedah daripada bersedekah, tidak bermaksud ianya sia-sia. Dengan izin Allah, setiap pahala daripada amalan bersedekah anda itulah yang akan memberi kemudahan buat anda ketika hari perhitungan kelak.

Selain wakaf, apa lagi bentuk-bentuk sedekah jariyah yang boleh anda lakukan?

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Sesungguhnya yang didapati oleh orang yang beriman dari amalan dan kebaikan yang dia lakukan setelah dia mati adalah:

  • Ilmu yang dia ajarkan dan sebarkan.
  • Anak soleh yang dia tinggalkan.
  • Mushaf al-Qur’an yang dia wariskan.
  • Masjid yang dibina.
  • Rumah yang dia bina  bagi ibnu sabil (musafir yang terputus perjalanan)
  • Sungai yang dia alirkan.
  • Sedekah yang dia keluarkan dari harta ketika dia sihat dan hidup.

Semua itu akan dihubungkan dengannya setelah dia mati.

Hadis riwayat Ibn Majah

Pernah terlintas dalam kepala bahawa amalan bersedekah ini merugikan? Ingat dan sematkan dalam dada sebuah firman Allah yang bermaksud:

Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.

Surah Al-Baqarah: 261

Mulai hari ini, marilah kita sama-sama tanamkan niat untuk jadikan bersedekah sebagai amalan harian. Semoga Allah meredhai usaha kita untuk menjadi lebih baik.

Semoga dengan perkongsian ringkas ini mampu memberi manfaat buat anda sedikit sebanyak.

Wallahua’lam.