fbpx

Belajar Mengaji Al-Quran Dengan Guru Atau Tanpa Guru?

Belajar Mengaji Al-Quran Dengan Guru Atau Tanpa Guru?

Kecanggihan teknologi zaman kini membuatkan seseorang itu menjadi terlalu berdikari. Yang mana mereka boleh mencari jalan penyelesaian malah menyelesaikan permasalahannya sendiri tanpa merujuk kepada yang pakar tentang sesuatu perkara tersebut. Sehinggakan belajar apa-apa pun tidak memerlukan guru lagi.

Belajar Mengaji Al-Quran Dengan Guru Atau Tanpa Guru?

Namun begitu, hal ini tidak berlaku untuk belajar dan membaca Al-Quran. Ini kerana dalam mempelajari Al-Quran, kita seperti mempelajari sesuatu bahasa. Dalam mempelajari sesuatu bahasa itu kita memerlukan seseorang yang boleh dijadikan contoh untuk kita mempraktikkannya. Oleh itu, kita memerlukan seseorang yang pakar dalam bidang tersebut untuk mengajar.

Dengan adanya guru atau contoh yang boleh kita ikuti, ia akan memudahkan perjalanan dan proses kita dalam mempelajari sesuatu perkara. Begitulah juga dengan belajar membaca Al-Quran. Kita tidak boleh sesuka hati menghentam segala cara bacaan mengikut kehendak kita. Lagi-lagi pula ianya merupakan ayat suci Al-Quran, kalam Allah SWT.

Akan tetapi, oleh kerana waktu yang terhad menjadikan seseorang itu susah untuk berguru dalam belajar membaca Al-Quran.. Dengan kecanggihan teknologi masa kini membuatkan seseorang boleh memperoleh dan mempelajari Al-Quran dengan mudah dan cepat.

Apakah maksud Al-Quran ?

Al-Quran merupakan mukjizat yang di dalamnya mengandungi hukum, sejarah dan firman Allah SWT yang kita perlu berpegang teguh kepadanya. Al-Quran adalah himpunan kesemua ilmu yang tidak boleh kita pelajari secara sendiri. Ini kerana sekiranya seseorang itu tidak mendapat penerangan daripada yang pakar dan hanya membuat penjelasan secara sendiri ia mungkin akan bercanggah dengan makna sebenar ayat Al-Quran tersebut.

Dalam pembelajaran ilmu Al-Quran, sama ada tulisan, cara penyebutan dan maksudnya mungkin berbeza mengikut situasinya. Oleh itu, untuk mengetahui cara pembacaan tajwid Al-Quran, seseorang itu tidak boleh belajar secara sendiri.

Kenapa perlukan guru ?

Ketika belajar Al-Quran, seseorang itu memerlukan guru untuk membimbing dan memperbetulkan kesalahan ketika kita membaca supaya segala kesalahan pembacaan ayat Al-Quran dapat ditangani sebelum menjadi kebiasaan.

Selain itu juga, sekiranya pelajar tidak faham sesuatu perkara yang dipelajarinya, mereka boleh terus bertanya kepada guru yang mengajar untuk mendapatkan penjelasan sehingga terang kesemua yang tidak difahaminya. Sebaliknya, bagi pelajar yang belajar mengaji Al-Quran tanpa guru, pemahaman mereka akan terbatas dan hanya berdasarkan buku yang mereka ada semata-mata.

Apakah kesan jika kandungan Al-Quran itu disalah erti ?

Sekiranya mereka salah faham tentang apa yang dibacanya, seseorang itu akan terus sesat dengan pemahamannya dan berkemungkinan akan menyesatkan orang lain pula. Salah faham ini kebiasaanya berlaku apabila seseorang itu memilih bahan bacaan yang terjemahannya terdapat banyak kesalahan-kesalahan terjemahan.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Allah yang menciptakan tujuh petala langit dan (Ia menciptakan) bumi seperti itu; perintah Allah berlaku terus menerus di antara alam langit dan bumi. (Berlakunya yang demikian) supaya kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu, dan bahawa sesungguhnya Allah tetap meliputi ilmuNya akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah Talaq : 12)

Melalui ayat Al-Quran di atas,kita ketahui bahawa ilmu pengajian Islam bukan sahaja merangkumi fakta dan kenyataan semata-mata, malah ia memerlukan pemahaman yang menyeluruh dan jelas daripada para ulama yang mempelajari ilmu melalui ulama-ulama terdahulu sehingga sampai kepada Rasulullah SAW.

Selain itu juga, orang yang belajar mengaji Al-Quran tanpa guru akan merasa yakin dengan kefahaman sendiri seolah-oleh mereka menyamakan taraf ilmu agama yang sangat rumit dengan ilmu-ilmu keduniaan yang lain. Oleh kerana kefahaman sendiri inilah yang banyak menimbulkan kesesatan diantara umat Islam.

Timbullah juga seruan supaya memilih hukum-hakam yang berdasarkan penilaian mereka sendiri dengan sekadar berasaskan buku-buku yang dibeli tanpa perlu merujuk  dan bertalaqqi dengan para ulama. Seseorang itu pandai kerana dia belajar dan menuntut ilmu. Ia juga adalah kerana terdapat guru yang mengajar dan memberitahu kepadanya. Tanpa seorang guru mustahil seseorang itu boleh menjadi pandai dengan sendirinya.

Contohnya seperti kisah Rasulullah SAW yang berguru dengan malaikat Jibril AS di Gua Hira. Jibrillah yang mengajarkan Nabi Muhammad SAW membaca Al-Quran. Jibril bertindak sebagai guru utnuk mengajar dan membimbing Rasulullah SAW membaca kalah Allah SWT yang telah diberikan iaitu “Iqra”.

Allah SWT telah berfirman yang bermaksud, “Allah memberikan hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.” (Surah Al-Baqarah : 269)

Secara umumnya, seseorang yang ingin menjadi cerdik, pandai, pintar dan bijaksana perlulah belajar mendalami ilmu Al-Quran. Dalam belajar mengaji Al-Quran, seseorang itu bukan sahaja dapat mengenali Allah malah dapat mengenali diri sendiri juga.

Seseorang itu harus mencari seorang pembimbing, pembantu dan pemandu nasihat dalam perkembangan ilmunya. Sekiranya tiada yang bertindak sebagai gurunya, dia pasti tidak akan pandai dan akan mudah hanyut ke arah kesesatan. Tidak ada seorang pun didunia ini yang dilahirkan terus pandai. Semuanya perlu ditunjuk ajar dan dibimbing terlebih dahulu.

Sebagai orang biasa, kita sepatutnya menyedari akan kemampuan diri sendiri. Terlalu jauh untuk kita menandingi ilmu kita dengan para ulama terdahulu. Oleh itu, kita mestilah mengutamakan mempelajari ilmu agama daripada guru-guru yang memiliki sanad supaya kita mendapat isi kandungan asli dari kitab-kitab tersebut.

Bagaimana jika mempelajari Al-Quran dari sumber internet ?

Orang yang belajar agama dan Al-Quran daripada internet perlu menyedari bahawa mereka sebenarnya merasakan belajar sendiri sudah cukup dan malas untuk bertanya secara langsung kepada ulama dengan adanya sumber yang melimpah ruah dalam internet. Mereka merasakan tidak perlu lagi untuk bertanya kepada orang yang lebih arif. Sedangkan, di dalam internet kita tidak memahami sepenuhnya apa yang penulis cuba untuk sampaikan.

Selain itu, kebanyakkan orang yang belajar sendiri ini tidak mahu mendekati ulama. Pembacaan buku dan internet tidak boleh digantikan dengan mendampingi ulama. Duduk di dalam majlis ilmu dan mendengar penjelasan daripada ulama, jelas sekali tidak sama seperti duduk berjam-jam di hadapan komputer.

Bahan-bahan di internet tidak boleh menentukan sendiri mana yang penting dan mana yang tidak penting. Jadi, kita sendiri yang memilih bahan apa yang kita akan baca berdasarkan apa yang terjadi dalam kehidupan seharian kita. Kadang-kadang perkara yang penting itu kita tidak tahu dan akhirnya kita sibuk membahaskan perkara-perkara yang tidak penting.

Secara kesimpulannya, ketika belajar ilmu agama ataupun belajar mengaji Al-Quran, hendaklah kita berguru dengan yang pakar dan elakkan daripada belajar secara sendiri. Ini kerana ianya akan mewujudkan kesalahan-kesalahan tanpa kita sedari. Seeloknya, bergurulah ketika ingin menuntut ilmu supaya perjalanan dan proses pembelajaran menjadi lancar dan tidak menyusahkan pemahaman kita.

“Maka Maha Tinggilah Allah, yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Benar (pada segala-galanya). Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca Al-Quran sebelum selesai dibacakan oleh Jibril kepadamu, dan berdoalah dengan berkata: “Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku.”

(Surah Taha : 114)