Anak Tak Solat? 9 Tips Ajar Anak Solat Sejak Kecil

Semua pasti sudah jelas dengan kewajipan kita sebagai seorang Islam. Secara umumnya, kewajipan solat 5 kali sehari dan kesemua perkara fardhu yang lain bermula sejak seseorang itu baligh. Ini juga sesuai dengan tuntutan Nabi Muhammad SAW melalui hadith baginda bahawa anak-anak sepatutnya diperintahkan untuk solat seawal usia 7 tahun lagi. Ajarlah anak solat sejak mereka kecil lagi supaya selepas baligh mereka sudah tidak liat untuk menunaikannya sendiri.

Anak Tak Solat? 9 Tips Ajar Anak Solat Sejak Kecil

Sabda Rasulullah SAW, “Perintahkanlah anak kamu sembahyang semasa umur mereka 7 tahun dan pukullah mereka semasa umur 10 tahun serta asingkanlah tempat tidur mereka.” (HR Abu Daud, Al-Hakim & Tirmizi)

Berikut adalah 9 cara dan tips untuk anda ajar anak solat di rumah yang boleh dipraktikkan oleh ibu dan bapa sejak mereka kecil lagi.

Ibu Bapa Menjadi Contoh

Perkara yang paling utama sekali adalah suasana anak-anak ketika mereka membesar. Pendedahan tentang solat itu akan datang dengan sendirinya apabila mereka selalu melihat ibu bapa mereka solat. Solatlah di awal waktu sejurus masuknya waktu solat atau kedengaran azan. Maka, anak-anak akan melihat dan seterusnya mengikut tingkah laku tersebut.

Nampah mudah bukan? Tetapi berat tanggungjawabnya apabila anda sentiasa diperhatikan oleh anak-anak. Namun secara tidak langsung, ianya akan membantu anda juga agar lebih berdisiplin dalam solat. Maka, jadilah pembimbing dan contoh kepada mereka sejak di awal usia lagi. Anda juga boleh menggunakan trik belajar mengaji dengan mudah dan cepat ini supaya anak anda lebih senang untuk belajar daripada anda.

Solat Bersebelahan Anak Kecil

Yang kedua, jangan jadikan anak kecil sebagai alasan untuk anda menangguhkan solat. Sebenarnya, lebih elok jika solat bersebelahan dengan bayi sebaik sahaja masuk waktu solat. Seeloknya, tukar lampin mereka terlebih dahulu supaya bayi boleh mundar-mandir di atas sejadah tanpa kita berasa was-was. Jika bayi anda jenis yang suka menggapai anda ketika anda sedang solat, anda boleh solat sambil mendukung bayi anda.

Walaupun anak anda masih kecil, jangan ingat mereka tidak faham dan tidak tahu. Sejak bayi lagi mereka boleh melihat tabiat ini dan memproses maklumat sehingga ia terlekat dalam ingatan mereka.

Jangan Marah Bila Anak Ganggu Solat

Apabila anak anda mendekati anda sewaktu anda sedang sembahyang, ia sebenarnya adalah salah satu petanda baik. Mereka berkemungkinan mempunyai perasaan ingin tahu akan apa yang sedang anda lakukan. Jadi, jangan marah pada mereka. Sebaliknya, galakkan mereka untuk mendampingi anda. Secara tidak langsung, mereka akan mudah berasa familiar terhadap solat dan tidak berasa kekok untuk meniru pergerakan anda nanti.

Solat Jemaah

Selain itu, anda juga boleh melakukan solat berjemaah di rumah. Ajak anak anda untuk turut sertai anda untuk solat berjemaah bersama. Solat berjemaah bukan saja banyak fadhilatnya, tetapi ia juga boleh menimbulkan rasa seronok untuk anak-anak solat bersama.

Apabila anak anda sudah meningkat usianya, mungkin ada kalanya mereka akan berasa liat untuk solat apabila disuruh. Tetapi, apabila ia dilakukan bersama, inshaAllah ianya mungkin akan terasa lebih mudah.

Lazimi Ayat Al-Quran

Sebagai ibu bapa, anda mungkin tidak dapat sentiasa berada dengan anak anda ketika solat kerana anda bekerja dan jadual yang padat dan sibuk. Jadi, bila anda ada masa, biasakan pasang ayat-ayat Al-Quran semasa di dalam kereta, bacakan ayat-ayat tersebut sebelum tidur atau di mana-mana sahaja yang sesuaian dengan keadaan dan situasi.

Contohnya, anda boleh ulangi bacaan Al-Fatihah, Ayat Kursi, dan 3 Qul kepada anak-anak sebelum masuk waktu tidur.Rutin ini sedikit sebanyak akan membantu mereka untuk menghafal Al-Fatihah, iaitu bacaan wajib dalam setiap solat walaupun mereka belum pandai mengaji.

Jadi, lebih seronok dan mereka akan ada rasa nak ikut solat bersama kerana sudah tahu sikit-sikit bacaannya. Untuk lebih mudah, anda boleh mula mengajar anak membaca buku iqra.

Sediakan Kelengkapan Solat Anak

Seterusnya, anda perlu persiapkan kelengkapan solat mereka untuk menjinak-jinakkan mereka bersolat. Anak kecil ini kebiasaannya akan menjadi lebih bersemangat sekiranya diberi galakan sebegini. Jika ada ruang kosong di rumah, sediakan ruang solat khas untuk solat dalam rumah supaya aktiviti solat, mengaji, atau tazkirah dapat dilakukan dengan keadaan yang tenang dan damai.

9 Tips Ajar Anak Solat Sejak Kecil

Sementara itu, anda boleh juga gunakan masa ini untuk mempraktikkan kaedah belajar membaca alquran sendiri untuk anak anda.

Beri Tugas

Di samping itu, anda juga boleh memberi tugas kepada anak-anak anda. Bagi anak-anak lelaki, anda boleh minta mereka iqamah atau menjadi imam. Kepercayaan yang kita beri kepada mereka sedikit sebanyak akan menyuntik rasa tanggungjawab dalam diri mereka. Mereka juga pasti akan berasa penting di mata ibu bapa mereka dan ia juga sebenarnya memberi dorongan kepada anak-anak untuk menunaikan solat sebaik yang mungkin.

Biasakan Anak Ke Masjid

Anda juga perlu membiasakan membawa anak-anak anda ke masjid tanpa menunggu bulan Ramadhan. Apabila ada waktu kelapangan, bawalah keluarga anda bersama pergi ke masjid untuk solat berjemaah. Pada mulanya, ibu bapa akan berasa agak susah sikit untuk mengawal, memantau dan menjaga anak ketika di masjid.

Namun, tanpa disedari mereka akan develop rasa suka akan masjid sejurusnya menjadikan mereka suka untuk beribadat di masjid. Malah, mereka mungkin akan bertemu dengan rakan mereka di masjid. Apabila bertemu dengan rakan mereka, mereka pasti akan berasa lebih seronok untuk solat berjemaah bersama.

Doakan Anak Selalu

Akhir sekali, sebagai ibu bapa, janganlah anda lupa untuk mendoakan anak-anak anda agar mereka rajin untuk mendirikan solat, malah beribadat dengan lebih tekun.

9 Tips Ajar Anak Solat Sejak Kecil

Amalkan doa daripada Surah Ibrahim, Ayat 40 yang bermaksud, “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku seorang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.” Bimbinglah anak-anak anda melakukan kebaikan dan beribadat kerana Allah sejak dari kecil lagi.

Didiklah anak-anak anda berdisiplin dalam menunaikan solat dan terapkan rasa kasih sayang dan sama sekali tidak menggunakan kekerasan, ugutan dan juga paksaan. Sementera itu, anda boleh dapatkan tips mengajar anak mengaji tanpa memaksa mereka di sini. Oleh itu, cuba praktikkan setiap tips yang telah ditunjukkan di atas dalam mengajar anak solat sesuai dengan minat dan sikap mereka yang tersendiri.

Sememangnya, mendidik anak solat ini memerlukan kesabaran yang tinggi, tetapi yakinlah bahawa setiap usaha anda akan dinilai oleh Allah SWT walau apa pun hasilnya. Mudah-mudahan anak-anak anda akan lembut hatinya, lebih bersemangat dan tekun dalam mendirikan solat.

Leave a Comment

Your email address will not be published.