fbpx

Anak Tak Solat? 9 Tips Ajar Anak Solat Sejak Kecil

Anak Tak Solat? 9 Tips Ajar Anak Solat Sejak Kecil

Semua pasti sudah jelas dengan kewajipan kita sebagai seorang muslim. Secara umumnya, kewajipan solat 5 kali sehari dan semua perkara fardhu yang lain perlu dididik bermula sejak seseorang itu baligh.

Ini juga sesuai dengan tuntutan Nabi Muhammad SAW melalui hadith baginda bahawa anak-anak sepatutnya diperintahkan untuk solat seawal usia 7 tahun lagi. Ajarlah anak solat sejak mereka kecil lagi supaya selepas baligh mereka sudah tidak liat untuk menunaikannya sendiri.

Anak Tak Solat? 9 Tips Ajar Anak Solat Sejak Kecil

Sabda Rasulullah SAW, “Perintahkanlah anak kamu sembahyang semasa umur mereka 7 tahun dan pukullah mereka semasa umur 10 tahun serta asingkanlah tempat tidur mereka.” (HR Abu Daud, Al-Hakim & Tirmizi)

Berikut adalah 9 tips untuk mengajar anak sembahyang di rumah yang boleh dipraktikkan oleh ibu dan bapa sejak mereka kecil lagi:

Ibu Bapa Menjadi Contoh

Perkara yang paling utama sekali adalah suasana anak-anak ketika mereka membesar. Pendedahan tentang sembahyang itu akan datang dengan sendirinya apabila mereka selalu melihat ibu bapa mereka menunaikan sembahyang. Solatlah di awal waktu iaitu sejurus masuknya waktu solat atau setelah kedengaran azan. Maka, anak-anak akan melihat dan seterusnya mengikut tingkah laku tersebut.

Nampak mudah bukan? Tetapi berat tanggungjawabnya apabila anda sentiasa diperhatikan oleh anak-anak. Namun secara tidak langsung, ia akan membantu anda juga agar lebih berdisiplin dalam melaksanakan sembahyang. Maka, jadilah pembimbing dan contoh kepada mereka sejak di awal usia lagi.

Solat Bersebelahan Anak Kecil

Yang kedua, jangan jadikan anak kecil sebagai alasan untuk anda menangguhkan sembahyang. Sebenarnya, lebih elok jika solat bersebelahan dengan bayi sebaik sahaja masuk waktu solat. Seeloknya, tukar lampin mereka terlebih dahulu supaya bayi boleh mundar-mandir di atas sejadah tanpa kita berasa was-was. Jika bayi anda jenis yang suka menggapai anda ketika anda sedang solat, anda boleh solat sambil mendukung bayi anda.

Walaupun anak anda masih kecil, jangan ingat mereka tidak faham dan tidak tahu. Sejak bayi lagi mereka boleh melihat tabiat ini dan memproses maklumat sehingga ia terlekat dalam ingatan mereka.

Jangan Marah Bila Anak Ganggu Solat

Apabila anak anda mendekati anda sewaktu anda sedang sembahyang, ia sebenarnya adalah salah satu petanda baik. Mereka berkemungkinan mempunyai perasaan ingin tahu akan apa yang sedang anda lakukan. Jadi, jangan marah pada mereka. Sebaliknya, galakkan mereka untuk mendampingi anda. Secara tidak langsung, mereka akan mudah berasa familiar terhadap sembahyang dan tidak berasa kekok untuk meniru pergerakan anda nanti.

Solat Jemaah

Selain itu, anda juga boleh melakukan sembahyang berjemaah di rumah. Ajak anak anda untuk turut sertai anda untuk sesi sembahyang berjemaah. Ia bukan saja banyak fadhilatnya, tetapi boleh menimbulkan rasa seronok untuk anak-anak sembahyang bersama.

Apabila anak anda sudah meningkat usianya, mungkin ada kalanya mereka akan berasa liat untuk sembahyang apabila disuruh. Tetapi, apabila ia dilakukan bersama, inshaAllah ianya mungkin akan terasa lebih mudah.

Lazimi Ayat Al-Quran

Sebagai ibu bapa, anda mungkin tidak dapat sentiasa berada dengan anak anda ketika sembahyang kerana anda bekerja dan jadual yang padat dan sibuk. Jadi, bila anda ada masa, biasakan pasang ayat-ayat Al-Quran semasa anda di dalam kereta. Ayat-ayat tersebut sebelum tidur atau di mana-mana sahaja yang bersesuaian dengan keadaan dan situasi.

Contohnya, anda boleh ulangi bacaan Al-Fatihah, Ayat Kursi, dan 3 Qul kepada anak-anak sebelum masuk waktu tidur. Rutin ini sedikit sebanyak akan membantu mereka untuk menghafal Al-Fatihah, iaitu bacaan wajib dalam setiap sembahyang walaupun mereka belum pandai mengaji.

Jadi, lebih seronok dan mereka akan ada rasa nak ikut sembahyang bersama kerana sudah tahu sikit-sikit bacaannya. Untuk lebih mudah, anda boleh mula mengajar anak membaca buku iqra.

Sediakan Kelengkapan Solat Anak

Seterusnya, anda perlu persiapkan kelengkapan untuk sembahyang bagi  menjinak-jinakkan mereka bersolat. Anak kecil ini kebiasaannya akan menjadi lebih bersemangat sekiranya diberi galakan sebegini. Jika ada ruang kosong di rumah, sediakan ruang khas untuk bersolat dalam rumah supaya aktiviti sembahyang, mengaji, atau tazkirah dapat dilakukan dengan keadaan yang tenang dan damai.

9 Tips Ajar Anak Solat Sejak Kecil

Sementara itu, anda boleh juga gunakan masa ini untuk mempraktikkan kaedah belajar membaca alquran sendiri untuk anak anda.

Beri Tugas

Di samping itu, anda juga boleh memberi tugas kepada anak-anak anda. Bagi anak-anak lelaki, anda boleh minta mereka iqamah atau menjadi imam. Kepercayaan yang kita beri kepada mereka sedikit sebanyak akan menyuntik rasa tanggungjawab dalam diri mereka. Mereka juga pasti akan berasa penting di mata ibu bapa mereka dan ia juga sebenarnya memberi dorongan kepada anak-anak untuk menunaikan sembahyang sebaik yang mungkin.

Biasakan Anak Ke Masjid

Anda juga perlu membiasakan membawa anak-anak anda ke masjid tanpa menunggu bulan Ramadhan. Apabila ada waktu kelapangan, bawalah keluarga anda bersama pergi ke masjid untuk sembahyang berjemaah. Pada mulanya, ibu bapa akan berasa agak susah sikit untuk mengawal, memantau dan menjaga anak ketika di masjid.

Namun, tanpa disedari mereka akan develop rasa suka ke masjid sekaligus menjadikan mereka suka untuk beribadat di masjid. Malah, mereka mungkin akan bertemu dengan rakan mereka di masjid. Apabila bertemu dengan rakan mereka, mereka pasti akan berasa lebih seronok untuk sembahyang berjemaah bersama.

Doakan Anak Selalu

Akhir sekali, sebagai ibu bapa, janganlah anda lupa untuk mendoakan anak-anak anda agar mereka rajin untuk mendirikan sembahyang, malah beribadat dengan lebih tekun.

9 Tips Ajar Anak Solat Sejak Kecil

Amalkan doa daripada Surah Ibrahim, Ayat 40 yang bermaksud, “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku seorang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.” Bimbinglah anak-anak anda melakukan kebaikan dan beribadat kerana Allah sejak dari kecil lagi.

Didiklah anak-anak anda berdisiplin dalam menunaikan sembahyang dan terapkan rasa kasih sayang dan sama sekali tidak menggunakan kekerasan, ugutan dan juga paksaan. Sementera itu, anda boleh dapatkan tips mengajar anak mengaji tanpa memaksa mereka di sini. Oleh itu, cuba praktikkan setiap tips yang telah ditunjukkan di atas dalam mengajar anak solat sesuai dengan minat dan sikap mereka yang tersendiri.

Jika anda mahu mencari guru untuk mengajar anak-anak membaca Al-Quran, anda dipersilakan menjengah ke Beana HomeQuran. Beana menyediakan kelas belajar Al-Quran secara atas talian dari pelbagai peringkat umur sama ada kanak-kanak, remaja atau dewasa. Klik saja saya nak belajar Al-Quran online! untuk maklumat lanjut.  

Sememangnya, mendidik anak untuk bersembahyang ini memerlukan kesabaran yang tinggi, tetapi yakinlah bahawa setiap usaha anda akan dinilai oleh Allah SWT walau apa pun hasilnya. Mudah-mudahan anak-anak anda akan lembut hatinya, lebih bersemangat dan tekun dalam mendirikan solat.