fbpx
alquran

8 Keistimewaan Al Quran

8 Keistimewaan Al Quran

Keistimewaan Al-Quran tidak boleh dinilai dengan mata kasar.

Al-Quran adalah kitab suci yang relevan untuk digunakan sepanjang zaman. Ia turunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Malaikat Jibril. Dalamnya terkandung pelbagai kisah tauladan.

alquran

Al-Quran dimulakan dengan surah Al-Fatihah dan ditutup dengan surah An-Nas. Ia diturunkan khusus dengan tujuan sebagai petunjuk dan panduan buat seluruh umat manusia.

Apakah perbezaan Al-Quran dengan kitab-kitab agama yang lain?

Berikut merupakan antara keistimewaan Al-Quran yang boleh didapati dan disokong oleh dalil-dalil tertentu.

Keaslian Yang Terpelihara

Al-Quran terpelihara keasliannya kerana ia sepenuhnya diturunkan oleh Allah. Selepas penurunannya, ia dijaga dan diurus dengan rapi dari segi tulisan dan hafalan. Ini boleh dibuktikan melalui firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.”

(Surah Al Hijr : 9)

Keistimewaan Al-Quran berbanding kitab-kitab samawi yang lain adalah Taurat dan Injil telah banyak diubah oleh pemeluknya. Namun, tiada siapa yang dapat mengubah isi kandungan Al-Quran.

Walaupun terdapat beberapa percubaan untuk mengubah isi kandungannya, tetapi segalanya gagal dan menemui jalan buntu untuk meniru Al-Quran.

Bahkan, dalam Al-Quran juga terkandung cabaran terhadap orang-orang kafir untuk meniru isi kandungan Al-Quran. Ia telah dinyatakan sebanyak 4 kali dalam Al-Quran dan mengikut tahap cabaran kepada mereka:

  1. Allah mencabar untuk membuat isi persis seperti Al-Quran, sebagaimana yang tertera dalam surah Ath-Thur : 33 & 34
  2. Allah merendahkan cabaranNya iaitu hanya beberapa surah sahaja; yang tertera dalam Surah Hud : 13
  3. Allah mencabar kali ketiga, yang lebih ringan dari sebelumnya dengan hanya membuat satu surah sahaja. Ini seperti yang tertera dalam Surah Yunus : 38
  4. Dan cabaran yang itu pun mereka gagal memenuhinya. Maka Allah mencabar dengan cabaran yang terakhir yang paling ringan iaitu mendatangkan ayat-ayat seperti ayat Al-Quran. Hal ini tertera dalam Surah Al-Baqarah : 23

Usaha-usaha untuk memalsukan Al-Quran atau mencipta isi seperti Al-Quran telah cuba dilakukan oleh orang-orang kafir sejak berzaman dahulu, tetapi tidak pernah berhasil.

Dihafal Ramai Manusia

Senaskhah Al-Quran mengandungi sebanyak 114 surah dan 6236 ayat. Walaupun begitu, Al-Quran merupakan satu-satunya kitab suci yang dihafal ramai umat manusia di seluruh dunia. Malah mampu dihafal dengan tepat sampaikan huruf per huruf dicampur dengan panjang pendeknya bacaannya.

Ia juga boleh dihafal oleh orang yang tidak mampu berbahasa arab sekalipun. Bahkan, boleh dihafal oleh kanak-kanak!

Sebagai contoh, Ibnu Sina berjaya menghafal Al-Quran seawal umur 5 tahun, Ibnu Khaldun menghafal Al-Quran pada usia 7 tahun manakala Imam Syafi’e dan Imam Ath-Thabari menghafal Al-Quran pada umur 7 tahun.

As-Suyuthi pula menghafal Al-Quran pada usia 8 tahun , Ibnu Hajar Al-Atsqalani menghafal Al-Quran seumur 9 tahun dan Ibnu Qudamah menghafal Al-Quran ketika berusia 10 tahun.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al-Quran untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran?”

Surah Al-Qamar: 17

Selari Dengan Sains Moden

Penemuan suatu perkara dalam Al-Quran selari dengan bukti sains moden adalah keistimewaan Al-Quran yang sering dikagumi. Banyak fakta-fakta ilmiah yang baru terbongkar pada era moden ini yang ternyata telah disebutkan di dalam Al-Quran lebih dari 14 abad yang lepas.

Ini dapat dibuktikan dengan tulisan Prof Keith L. Moore melalui karyanya yang berjudul ‘The Developing Human’. Karyanya berfokus kepada tinjauan perkembangan embriologi manusia dalam Al-Quran dan hadis. Beliau merupakan seorang professor yang pakar bidang anatomi dan pembedahan dari Universiti Toronto, Kanada. Karya tersebut telah menghuraikan bagaimana Al-Quran mampu menggambarkan proses pembentukan embrio dengan tepat dan terperinci sedangkan teknologi pada masa itu tidak setaraf seperti hari ini.

embryo

Selain itu, peristiwa tentang penggantian kulit manusia di neraka. Kulit mempunyai reseptor yang membuatkan ia peka terhadap kepanasan. Jadi, jika kulit terbakar keseluruhannya, maka akan lenyaplah kepekaannya.

Oleh itu, Allah akan menghukum orang-orang yang tidak percaya akan Hari Pembalasan dengan mengembalikan kulit mereka waktu demi waktu.

Sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami, kelak akan Kami masukkan mereka ke dalam neraka. Setiap kali kulit mereka hangus, Kami ganti kulit mereka dengan kulit yang lain, supaya mereka merasakan azab. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Surah An-Nisaa’ : 56

Antara contoh yang lain adalah proses pembentukan hujan. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dialah Allah yang mengirimkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan dan Allah membentangkannya di langit menurut yang dikenhendakiNya, dan menjadikannya bergumpal-gumpal; lalu kamu lihat air hujan keluar dari celah-celahnya; maka apabila hujan itu turun mengenai hamba-hambaNya yang dikehendakiNya, tiba-tiba mereka menjadi gembira.”

Surah Ar-Ruum : 48

Jika anda mahu tahu lebih banyak penemuan sains moden yang selari dengan isi kandungan Al-Quran, anda boleh baca tulisan Dr. Maurice Bucaile tentang ‘The Bible, The Quran And Science’ atau kumpulan karya-karya Harun Yahya.

Gaya Bahasa Sastera Yang Tinggi

Ketika Al-Quran diturunkan di tanah Arab, masyarakat Arab sangat menghargai sastera. Al-Quran diturunkan dengan gaya bahasa yang indah dan tinggi yang tidak mampu ditandingi sesiapa pun.

Hal ini juga diakui oleh musuh-musuh Islam pada ketika itu seperti kata-kata Al-Wahid bin Mughirah, salah seorang tokoh pembesar Quraisy;

“Demi Allah, ini bukanlah syair, bukan sihir, bukan pula igauan orang gila. Sesungguhnya ia adalah Kalamullah yang memiliki kemanisan dan keindahan. Sesungguhnya ia (al-Qur’an) sangat tinggi (agung) dan tidak ada yang melebihinya.”

(Tafsir Ibnu Katsir)

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan demikianlah Kami menurunkan Al-Quran sebagai hukum dalam bahasa Arab. Dan demi sesungguhnya, jika engkau (wahai Muhammad) menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya kepadamu wahyu pengetahuan (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau peroleh dari Allah sesuatu pun yang dapat mengawal dan memberi perlindungan kepadamu (dari perkara-perkara yang tidak diingini).”

Surah Ar-Ra’d : 37

Menjadi Penawar Untuk Penyakit

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.”

Surah Al-Israa’ : 82

Sepanjang kita hidup, kita akan terdedah dengan pelbagai jenis penyakit, seperti sekarang, penyakit COVID-19 yang berleluasa menguasai dunia. Apa sahaja jenis penyakit yang dihidapi oleh seseorang itu sebenarnya merupakan ujian dan cubaan daripada Allah agar mereka bertaubat dan kembali kepadaNya.

“Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu”. (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir.”

Surah Al-Nahl : 69

Menyembuhkan pelbagai jenis penyakit itu bukan sesuatu yang sukar bagi Allah. Di samping berusaha untuk berubat secara medikal, sandarkan segala pengharapan kepada Allah agar disembuhkan penyakit. Tanpa izin dan kehendakNya, seseorang tidak akan sembuh dari apa saja jenis penyakit yang dideritanya.

Selain itu, Al-Quran juga mampu dijadikan penawar bagi penyakit akibat gangguan jin dan sihir.

Pengaruh Yang Kuat Terhadap Jiwa Manusia Dan Jin

Bukti Al-Quran mempunyai pengaruh yang kuat terhadap jiwa manusia dan jin dapat dilihat melalui penceritaan kisah di masa lalu mahupun pada masa kini.

Sebuah hadis dari Ibnu Abbas yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah bahawa Rasulullah SAW berkata:

“Apabila Umar memeluk Islam, Jibril pun datang dan berkata, “Ya Muhammad, sesungguhnya seluruh makhluk langit bergembira dengan islamnya Umar.”

Kisah Umar bin Al-Khattab memeluk Islam dimulai dari sentuhan Al-Quran ke dalam jiwanya. Sebagaimana dikisahkan bahawa pada suatu malam Umar Al-Khattab bersembunyi disebalik tirai Kaabah dan mendengarkan Rasulullah membaca Surah Al-Haqqah dan mulai malam itulah benih islam mulai tertanam dalam dadanya. Kemudian semakin tumbuh subur ketika ia membaca surah Taha di kediaman adik perempuannya.

Selain itu, terdapat juga pengaruh yang kuat terhadap jin.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad), “Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya, satu rombongan jin telah mendengar (Al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata, “Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Quran (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan!”

Surah Al-Jinn : 1

“Kitab yang memberi panduan ke jalan yang betul, lalu kami beriman kepadanya, dan kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan kami.”

Surah Al-Jinn : 2

Menceritakan Perkara Masa Lalu Dan Akan Datang Dengan Tepat

Bukti Al-Quran mampu meramalkan kejadian pada masa akan datang terkandung dalam Surah Ar-Ruum ayat 1-4. Allah menceritakan kisah kemenangan bangsa Romawi di negeri yang terdekat. Allah menyebut, sesudah bangsa Romawi dikalahkan, mereka akan menemui kemenangan dalam beberapa tahun lagi. Bagi Allahlah urusan sebelum dan sesudah mereka menang. Ternyata benar beberapa tahun selepas itu, bangsa Romawi mencapai kemenangan menentang Parsi

Selain itu, keajaiban yang diungkapkan dalam ayat tersebut adalah tentang fakta geografi yang belum pernah ditemui oleh sesiapa pun pada ketika itu.

Dalam ayat ketiga surah Ar-Ruum, diberitakan bahawa bangsa Romawi telah dikalahkan di daerah ‘paling rendah di bumi ini’. Selepas kajian dilakukan pada zaman kini bumi paling rendah adalah lembah Palestin.

Ungkapan ‘Adnal Ardhi’ dalam bahasa Arab bermaksud ‘tempat yang dekat’ dalam banyak terjemahan. Namun, ini bukanlah makna asal dari kalimah tersebut tetapi lebih kepada pentafsiran ke atasnya. ‘Adna’ dalam bahasa Arab diambil dari kata ‘Dani’ yang bermaksud ‘rendah’ dan ‘Ardhi’ yang bererti ‘bumi’. Disebabkan itulah maksud ‘Adnal Ardhi’ bererti ‘tempat paling rendah di bumi’.

Membacanya Adalah Ibadah

membaca alquran

“Barangsiapa yang membaca huruf dari al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan dilipatgandakan menjadi sepuluh kali lipat. Saya tidak mengatakan الــم ialah satu huruf, akan tetapi ا satu huruf, ل satu huruf dan م satu huruf.”

Hadis riwayat Bukhari

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.”

Surat Al-A’raaf: 204

“Orang yang mahir dengan al-Quran bersama malaikat yang mulia, sedang orang yang membaca al-Qur’an dengan tertatih-tatih dan ia bersemangat (bersungguh-sungguh maka baginya dua pahala”

Hadis riwayat Bukhari & Muslim

Bukti daripada Al-Quran dan hadis telah menjelaskan betapa Allah amat menghargai mereka yang membaca Al-Quran. Apatah lagi mereka yang cuba mempelajarinya serta mengamalkan ajaran Al-Quran.

Giveaway Fasih Mengaji

mengaji online

GIVEAWAY FASIH MENGAJI
===================================

Beana Home Quran akan adakan Giveaway pelbagai hadiah menarik seperti Tunai Rm1,000, Samsung earphone , Emas Habib & Al-Quran untuk kempen ini !

Ini akan menjadi kempen hadiah terbesar kami! 🔥🔥🔥

Berikut ialah cara untuk mengambil bahagian:
1. Masuk ke group Telegram Beana di bawah
2. Klik website yang akan diberikan di dalam group Telegram
3. Pilih mana-mana pakej Fasih Mengaji
4. Whatsapp admin untuk Pembayaran dan isi detail
5. Anda layak untuk jadi pemenang untuk hadiah-hadiah menarik ini

* Jumlah Pemenang: 13 pemenang (maksimum)
* Pemenang akan diumumkan di Live Instagram & Facebook serta dalam Telegram Beana Quran.

Jom Sertai sekarang !🤩

Klik link di bawah untuk masuk group Telegram Beana Quran
https://t.me/beanaquran
https://t.me/beanaquran
https://t.me/beanaquran