Anak Tak Mahu Mengaji? 5 Tips Mengajar Anak Mengaji Tanpa Memaksa

Susah nak ajar anak mengaji? Pasti ramai ibu bapa yang mengalami masalah ini kan? Anak tak mahu mengaji ini merupakan antara situasi yang normal bagi seorang ibu atau bapa. Bagaimana nak tarik perhatian seorang anak daripada tak mahu mengaji ke seorang yang tak sabar-sabar nak mengaji? Bukan senang nak tarik perhatian kanak-kanak lagi-lagi seusia 3 tahun lagi.

Tetapi, seelok-eloknya, kita perlulah melentur buluh dari rebungnya supaya apabila dia sudah besar nanti, dia tidak terkial-kial untuk membaca ayat suci Al-Quran. Merotan, memarahi dan menggunakan cara paksaan terhadap anak seusia 3 tahun untuk mengaji hanya akan membuat mereka hilang rasa ingin belajar mengaji tersebut. Jadi, macam mana nak ajar anak mengaji tanpa memaksa?

Anak Tak Mahu Mengaji? 5 Tips Mengajar Anak Mengaji Tanpa Memaksa

Kenalkan Huruf Guna Kad Imbasan

Mula-mula anda perlu mengajar anak anda untuk mengenal huruf-huruf di dalam Al-Quran terlebih dahulu. Cara paling mudah adalah dengan menggunakan pendekatan bermain menggunakan kad imbasan. Ajar anak mengenal huruf hijayyah dalam setiap permainannya supaya mereka biasa dengan huruf-huruf ini.

Perkenalkan Alif Ba Ta kepadanya secara berperingkat untuk menarik minat mereka. Berikan ganjaran seperti kismis atau lain-lain yang boleh menjadi penyebab mereka bersungguh-sungguh untuk menjawab dengan betul.

Guna Alunan Lagu

Selain itu, anda juga boleh menggunakan teknik nyanyian atau alunan lagu berunsurkan ayat-ayat suci Al-Quran. Tarik perhatian mereka dengan alunan yang menarik minat mereka dengan sebaiknya. Di dalam kereta anda perlu biasakan memasang CD mengaji setiap hari. Kanak-kanak diusia awal ini lebih mudah untuk ‘tangkap’ dengan apa yang didengarnya.

Jadi, jika mereka dengar dengan kerap, maka pastinya mereka akan mudah untuk mengikutnya. Sentiasa juga mengucapkan kalimah Allah walau di mana berada. Jangan sesekali paksa anak anda. Sebaliknya pupuk minat mereka secara perlahan-lahan. Sekiranya mereka tidak menunjukkan minat dari segi ini, gunakan teknik yang lain pula.

5 Tips Mengajar Anak Mengaji Tanpa Memaksa

Beli Buku Yang Menarik

Disiplinkan diri anda dan anak anda untuk mengaji sekerap mungkin. Curi masa dalam 15 ke 20 minit sehari untuk mengajar anak mengaji. Belikan buku-buku bacaan untuk mengaji yang menarik. Buku latihan yang meminta anak-anak mengisi tulisan jawi atau simbol-simbol mengaji, menyambungkan titik-tiktik huruf juga dapat membantu dan menarik minat anak-anak untuk belajar dengan lebih mudah.

Bacakan surah pada anak sebelum mereka tidur malam dan sebelum mereka bangun dari tempat tidur waktu pagi. Lama-kelamaan mereka akan adapt dan boleh mengikut kita membacanya sekali. Kemudiannya, mereka sudah boleh menggunakan Kaedah Belajar Membaca Al-Quran Sendiri.

Tampal Di Dinding

Anda juga boleh menggunakan teknik dengan menampal huruf jawi tersebut secara besar-besaran di tempat yang senang dan selalu dilihat. Tampal pelekat di dalam biliknya dengan menggunakan kertas yang bersaiz besar yang mengandungi huruf jawi tersebut. Lebih banyak mereka melihat huruf tersebut, lebih mudah untuk huruf tersebut dapat tersemat di dalam ingatannya.

Jadi, tampallah di tempat yang di mana mereka akan mudah nampak dan kerap berada di situ. Contohnya seperti di hadapan almari baju, di meja bekerja, atau juga di atas meja makan. Anda juga boleh letakkan ia di dalam kereta sebagai bahan bacaan ringan.

Ajar Membaca Doa

Akhir sekali, anda perlulah membiasakan diri untuk mengajar anak anda membaca doa. Doa makan, doa masuk dan keluar tandas, doa sebelum tidur dan bangun tidur, doa memulakan pembelajaran, doa naik kenderaan dan lain-lain lagi.

Semoga lama-kelamaan, bila mereka sudah menghafal, maka hati mereka akan terminat untuk mengaji dengan lebih mudah dan dapat melafazkan doa tersebut sewaktu bersendirian tanpa bantuan orang lain. Dengan doa juga, ianya dapat melembutkan hati dan mendekatkan diri dengan pencipta kita.

Ingat, jangan sesekali anda memaksa anak anda untuk mengaji dengan merotan atau memarahi mereka. Itu akan membuatkan mereka hilang rasa seronok untuk belajar mengaji dengan suka rela. Jika mereka kerap dipaksa untuk mengaji, berkemungkinan kelak mereka akan rasa tak suka dan benci untuk belajar mengaji.

Jadi, mengajar anak mengaji menggunakan cara yang berlemah lembut dan ‘paksa’ secara halus lebih mudah untuk menarik minat mereka. Anda juga boleh gunakan Cara Mengajar Anak Membaca Buku Iqra dengan lebih berkesan di sini.

Leave a Comment

Your email address will not be published.