5 Kategori Isteri Derhaka

Wanita adalah hiasan dunia. Apabila wanita dipanggil sebagai isteri, ia bukanlah bermakna untuk merendahkan taraf wanita itu. Sebaliknya, ia adalah sebagai satu jaminan hak supaya isteri-isteri ini terpelihara, dilindungi dan dibela dengan baik oleh seorang suami. 5 Kategori Isteri Derhaka Seorang isteri mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap suaminya. Tanggungjawab ini merupakan suatu perkara yang sangat penting dan serius. Ianya tidak boleh diabaikan. Sekiranya isteri mengabaikan tanggungjawabnya, mereka akan senang mendapat laknat dan dikhuatiri akan termasuk di dalam kategori isteri derhaka.

Sekiranya terdapat isteri-isteri yang tidak menunaikan tanggungjawabnya kepada suami dengan sebaik-baiknya, dan menganggap bahawa tanggungjawab terhadap suami itu membebankan dan menyusahkan dirinya, maka isteri yang sebegitu dikhuatiri termasuk di dalam golongan isteri yang menderhaka dan nusyuz. Apakah perkara yang termasuk di dalam ciri-ciri isteri yang derhaka itu?

Hal ini perlu di ambil tahu oleh para isteri sebagai langkah berwaspada supaya terhindar daripada kategori tersebut.

Tidak Mensyukuri Kebaikan Yang Dilakukan Suami

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (Surah Ar-Ruum : 21)

Seorang isteri diamanahkan untuk bersyukur kepada suaminya yang telah memberikan nafkah zahir dan batin kepadanya. Ini kerana, dengan syukurnya isteri kepada suaminya dan tdak menuntut, maka rumahtangga akan lebih bahagia. Seorang isteri yang tidak bersyukur kepada suaminya dan banyak menuntut adalah petanda isteri tidak baik dan tidak merasa cukup dengan rezeki yang Allah kurniakan kepadanya.

Allah SWT telah berfirman yang bermaksud, “Dia lah jua yang menguasai urusan dan perbendaharaan langit dan bumi; Ia memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan yang telah ditetapkan), dan Dia juga yang menyempitkannya (menurut peraturan itu); sesungguhnya Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah Asy-Syura : 12)

Menyakiti Hati Suami

Isteri tidak sepatutnya dalam apa juga keadaan sekalipun mengherdik atau menyakiti hati suami. Adalah seeloknya, sebagai seorang isteri, sentiasa bersedia untuk menggembirakan dan menghiburkan hati suami sama ada dengan tingkah laku yang elok, tutur kata yang menjadi penawar serta perhiasan diri zahir dan batin.

Firman Allah SWT, “Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaatnya) bagi orang-orang kafir (berhubung rapat dengan orang-orang mukmin selagi mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya), iaitu: perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut; mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba yang soleh dari hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka berdua taati); dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing; maka kedua-dua suami mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari (azab) Allah, dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada hari pembalasan): “Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama orang-orang yang masuk (ke situ).” (Surah At-Tahrim : 10)

Keluar Tanpa Izin Suami

Allah SWT telah berfirman yang bermaksud, “Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu – wahai “AhlulBait” dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).” (Surah Al-hzab : 33) Seorang isteri tidak digalakkan untuk keluar dari rumah sekiranya tidak mendapat keizinan daripada suaminya. Ini kerana seorang isteri perlu mematuhi dan taat pada suami selagi ianya tidak melanggar syariat Islam. Seorang isteri memikul tanggungjawab untuk menjaga nama baik suami dan diri sendiri.

Tidak Menjaga Kehormatan Diri Sebagai Isteri

Menjaga kehormatan diri sebagai seorang isteri adalah perkara yang wajib dilakukan. Menjaga kehormatan diri juga bermakna menjaga aib diri dan suami. Ini telah dijelaskan di dalam Al-Quran.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah An-Nur : 31)

Oleh itu, seorang isteri harus menuruti perintah suaminya. Sekiranya suami memanggil, maka haruslah dia menjawab panggilannya. Sekiranya si suami melarang sesuatu maka, haruslah si isteri menjauhinya. Sekiranya si suami melarang tetamu dilarang datang ke rumah selama dia tiada di rumah sama ada saudara dekat ataupun jauh, dari kalanggan mahram ataupun bukan, maka si isteri wajib mematuhinya.

Meminta Cerai Daripada Suami

“Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).” (Surah An-Nisa : 19)

Berdasarkan ayat diatas, mungkin apa yang dibencikan itu, Allah sedang menjadikannya kebaikan buat diri kita. Jadi, jangan kerana ada perkara yang kita tidak suka akan suami kita, maka kita meminta cerai daripada suami kita. Berkemungkinan ianya akan memberikan kebaikan untuk kita.

Firman Allah SWT, “Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka. (Surah An-Nisa : 34)

Demikian itulah sebahagian daripada ciri-ciri atau kategori isteri derhaka dan balasan buruk yang akan diterima di akhirat kelak. Semoga ianya akan memberikan kesedaran dan manfaat untuk kita semua lagi-lagi bagi isteri-isteri sekalian.

Leave a Comment

Your email address will not be published.